Berita

Portal UNiLINK bantu pelajar cari penempatan latihan industri dan pekerjaan

Portal UNiLINK bantu pelajar cari penempatan latihan industri dan pekerjaan
- Diterbit 17 September 2020 8:22 AM MYT

Pelajar universiti yang ingin mendapatkan latihan industri serta siswazah yang mencari pekerjaan dalam pengkhususan tertentu kini boleh menemukan padanan terbaik mereka menerusi  portal yang baru dilancarkan, UNiLINK.

UNiLINK yang dibangunkan bersama oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta Cirrosnet Sdn Bhd, berfungsi sebagai pusat sehenti digital untuk pelajar universiti dan pencari kerja mendapatkan penempatan dalam pelbagai sektor termasuk mobiliti, augmented reality, realiti maya dan robotik.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii Datuk Madani Sahari berkata UNiLINK akan mengoptimumkan peluang bakat baharu memadankan kemahiran mereka dengan laluan kerjaya yang bersesuaian, sekaligus memastikan keperluan dan permintaan industri terhadap bakat bagi Industri 4.0 dipenuhi.

Beliau berkata bagi suku semasa, MARii menyasarkan 50,000 syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, mendaftar dengan UNiLINK.

“UNiLINK dibuka kepada semua universiti awam dan swasta, serta siswazah  termasuk individu yang sudah mempunyai pekerjaan namun  mencari peluang kerjaya yang lebih baik,” kata Madani selepas majlis pelancaran portal berkenaan di sini, hari ini.

UNiLINK boleh diakses secara percuma di http://unilink.my.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas