Berita

The City Boys mula latihan Rabu depan

SOP bakal dititikberatkan sepanjang latihan minggu hadapan.
- Diterbit 12 Jun 2020 8:16 AM MYT

KUALA LUMPUR – Skuad The City Boys yang berpusat di ibu kota, Kuala Lumpur dijangka memulakan latihan bermula Rabu depan dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Perkara ini dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa yang turut memaklumkan semua pemain skuad itu akan menjalani ujian swab COVID-19 terlebih dahulu pada pagi Isnin.

“Keputusan ujian dijangka diperoleh dalam masa 48 jam dan selepas semua didapati negatif, baru kita akan memulakan latihan. Pemain mungkin akan dipecahkan dalam empat kumpulan berbeza kerana latihan tidak boleh melebihi 10 orang pada satu-satu masa.

“Setiap kumpulan akan menjalani latihan pada waktu yang berbeza dan individu lain tidak dibenarkan berada di tempat latihan iaitu Stadium KLFA, Cheras. Antara aspek yang diberi penekanan ialah jarak sosial tiga hingga lima meter seperti yang ditetapkan kerajaan,” tambahnya.

Pihak KLFA juga masih menunggu SOP terperinci mengenai latihan bola sepak daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta MFL dalam masa terdekat.

Liga Malaysia dijangka bersambung pada September ini dengan hanya melibatkan satu pusingan sekiranya mendapat kelulusan daripada kerajaan.

Sebagai rekod, selepas empat perlawanan Liga Perdana, pasukan Kuala Lumpur kendalian Ketua Jurulatih Nidzam Adha menduduki tempat keempat selepas merekodkan dua kemenangan dan dua seri sebelum Liga Malaysia ditangguhkan akibat penularan wabak Covid-19. –WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas