Berita

Bangkit selepas jatuh, perniagaan Kawood melonjak semasa PKPB

KAWOOD perniagaan tiga sahabat yang bermula semasa PKPB. KAWOOD perniagaan tiga sahabat yang bermula semasa PKPB.
- Diterbit 12 Jun 2020 11:55 AM MYT

DI SAAT sebahagian masyarakat dunia terputus punca pendapatan dan berhadapan dengan kemelesetan ekonomi akibat penularan wabak Covid-19, beberapa individu pula berjaya bangkit daripada permasalahan yang dihadapi.

Begitu juga yang dialami tiga sahabat yang dahulunya kehilangan kerja dan terputus mata pencarian sepenuhnya semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka kini bangkit semula dengan perniagaan berasaskan kemahiran pertukangan kayu yang dikenali Kawood sejurus selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diisytiharkan.

Menurut pengasas Kawood, Mohd Hafiz Johari, perniagaannya itu bermula daripada hobi dan permintaan rakan sahaja.

“Semasa PKP sehingga PKPB, ramai yang menonjolkan minat menanam pokok bunga. Jadi ada kawan minta saya buat rak dan selepas dimuat naik ke sosial media, permintaan semakin meningkat.

“Saya mula buat di rumah, yang pertama berjaya jual 10 unit dan keesokannya 20 unit pula. Susulan itu, saya hubungi dua lagi rakan dan terus buka bengkel. Sekarang sudah lebih 100 unit dalam tempoh satu minggu,” katanya kepada Wilayahku.

Bagi pengasas bersama Kawood, Abdul Razak Latiff, selepas mencapai kata sepakat untuk membuat secara serius, nama dan logo dicipta untuk dimuat naik ke dalam sosial media sekali gus menjadikannya perniagaan yang rasmi.

RAK untuk tanaman hiasan paling laris sepanjang PKPB.

Menceritakan lanjut, ujarnya, nama Kawood adalah berdasarkan gabungan Kawan dan Wood (kayu) malah pertukangan bukanlah hobi atau minat kerana kerjayanya sebelum ini adalah jurugambar.

“Bila buat bisnes ini, saya tidak fikir iai bebanan besar.

Saya juga tidak kekok, saya selesa dan anggap ini jalan untuk saya mencari rezeki lepas syarikat yang saya bekerja selama 14 tahun tutup secara tiba-tiba.

“Pilih perniagaan Kawood daripada jurugambar perkahwinan kerana ia tidak ada pasang surut,” katanya sambil tambah idea produk adalah daripada Hafiz.

Menurut beliau, konsep perniagaan yang diusahakan bersama itu adalah untuk memudahkan pelanggan.

Sementara itu, seorang lagi pengasas bersama, Noor Adzrene Mohd Noor yang bertindak sebagai pengurus teknikal dan pemasangan menzahirkan rasa syukur dengan keadaan semasa.

Katanya, PKPB juga merupakan hikmah yang tidak terhingga kerana membuka peluang kepada dia dan rakan-rakan yang kehilangan kerja pada September tahun lalu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas