Berita

Agong kurnia sumbangan untuk anak yatim

AL-SULTAN Abdullah dan Tunku Azizah berkenan mengurniakan sumbangan kepada anak-anak yatim Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia di Jalan Maktab pada Majlis Pengurniaan Sumbangan Ampun Kurnia. YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengurniakan sumbangan kepada anak-anak yatim Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia di Jalan Maktab pada Majlis Pengurniaan Sumbangan Ampun Kurnia.
- Diterbit 12 Jun 2020 7:43 AM MYT

SERI Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Azizah Maimunah Iskandariah berkenan bercemar duli meraikan hari keputeraan baginda bersama-sama anak yatim.

Seri Paduka berdua berangkat tiba di rumah anak-anak yatim Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia di Jalan Maktab di sini pada pukul 11 pagi bagi menyempurnakan Majlis Pengurniaan Sumbangan Ampun Kurnia.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussein Alhabsyi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail.

Difahamkan, ini merupakan aktiviti kedua Al-Sultan Abdullah yang diadakan di luar Istana Negara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

Pada majlis tersebut MAIWP telah menyumbangkan sebanyak RM50,000 dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebanyak RM26,500 kepada rumah anak yatim tersebut yang diwakili Presidennya, Datuk Faridah Omar Shah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas