Berita

The City Boys ikat JDT II

AKSI pemain veteren KLFA, Indra Putra Mahayuddin (kanan) ketika bertemu JDT II di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, kelmarin. 
- Diterbit 12 Mac 2020 4:24 PM MYT

KUALA LUMPUR – Selepas berjaya menewaskan pasukan Negeri Sembilan, 3-1 dan memperoleh kemenangan pertama dalam saingan Liga Perdana Malaysia 2020, skuad The City Boys kendalian Nidzam Adha Yusof berjaya mengikat pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT) II, 1-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, kelmarin.

Tuan rumah terlebih dahulu berada di depan apabila mencipta jaringan menerusi Ramadan Saifullah Usman yang berjaya merembat rendah melepasi penjaga gol Kuala Lumpur, Zamir Selamat pada minit ke-33 selepas menerima umpanan Fernando Rodriguez.

Babak kedua menyaksikan tuan rumah hampir saja menambah jaringan pada minit ke-55 apabila Arif Aiman memberanikan diri melepaskan rembatan tepat ke arah penjuru kanan gawang namun Zamir Selamat ternyata lebih bersedia apabila berjaya menepis bola keluar.

Gol penyamaan yang dinantikan pasukan pelawat akhirnya tiba apabila Fakhrul Aiman Aidid menanduk masuk bola sepakan sudut ketua pasukan, Paulo Dos Reis pada minit ke-76 dan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Pasukan Kuala Lumpur FA kekal di tangga ke-4 liga dengan memungut 5 mata dan seterusnya akan berkunjung ke Kuching, Sarawak bagi berdepan pasukan Sarawak United yang kini menghuni tangga ke-5 liga pada 14 Mac ini. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas