Berita

KLFA mahu contohi kelab berjaya

PEMAIN KLFA sebelum beraksi menentang JDT II di Larkin kelmarin. Foto Facebook Kuala Lumpur Hawks
- Diterbit 12 Mac 2020 4:42 PM MYT

KUALA LUMPUR: Hasrat Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk menjadi sebuah pasukan yang cemerlang pada masa akan datang memerlukan sokongan dan dorongan dari pucuk pimpinan pusat yang baharu.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata, pihaknya menaruh harapan agar Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dapat menggunakan pengalaman yang ada untuk membantu KLFA selepas ini.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Annuar Musa kerana dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu. Jadi saya harap beliau dapat membantu menaikkan KLFA menjadi satu pasukan yang terkenal di mana seperti yang pernah berlaku pada tahun 1987, 1988 dan 1989.

“Kita tahu Tan Sri Annuar Musa memang memiliki ilmu dalam bola sepak dan pernah membimbing Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) atau ‘The Red Warriors’ dan membantu pasukan Kelantan merangkul kejuaraan ‘treble’ iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2012.

“Mungkin beliau boleh menyumbangkan nasihat yang baik untuk KLFA. Pihak Persatuan akan berbincang bersama Presiden, Khalid Abd. Samad untuk membuat Kunjungan Hormat kepada Tan Sri Annuar Musa selepas ini,” kata Nokman kepada Wilayahku.

Terdahulu, pada aksi Liga Perdana yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin malam semalam menyaksikan KLFA berjaya mengikat JDT II dengan keputusan 1-1.

JDT II terlebih dulu mendahului perlawanan apabila Muhammad Ramadhan Saifullah Usman meledak gol pada minit ke-34 menewaskan penjaga gol KLFA, sekali gus membolehkan tuan rumah selesa hingga tamat separuh masa pertama.

Tersentak dengan gol berkenaan, skuad The City Boys bangkit melakukan asakan bertali arus ke pihak lawan dan akhirnya jaringan penyamaan berjaya dicipta Muhammad Fakrul Aiman Sidid pada minit ke-70 permainan.

Keputusan seri berkenaan menyaksikan KLFA kini mengutip lima mata dalam tiga perlawanan dan menghuni kedudukan keempat dalam carta liga. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas