Berita

TH untung RM1.3 bilion selepas 9 bulan laksana Pakej Pemulihan

- Diterbit 20 Februari 2020 6:46 AM MYT

PUTRAJAYA – Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJ) menafikan dakwaan palsu berhubung Kementerian Kewangan atau Menterinya, Lim Guan Eng yang kononnya menutup Hotel-hotel Tabung Haji serta memberhentikan pekerja-pekerja di hotel terbabit.

UJ dalam kenyataannya menegaskan, pengurusan dan aset-aset di bawahnya adalah ditadbir Lembaga Pengarah UJ yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir bersama-sama Ahli-ahli Lembaga Pengarah; Ketua Pegawai Eksekutif, Izad Sallehuddin dan pengurusan kanan UJ yang terdiri daripada golongan profesional beragama Islam.

“Dengan pakej pemulihan yang bertujuan untuk melindungi kepentingan penyumbang Tabung Haji (TH) dan membantu Lembaga tersebut kembali stabil, TH tidak perlu lagi menanggung kerugian aset yang bernilai RM10 bilion kerana kerugian ini akan ditanggung UJ dan kerajaan Malaysia.

“Malah, dengan pelan penstrukturan kerajaan ini, mereka sudah menunjukkan benih pemulihan apabila mengaut keuntungan sebanyak RM1.3 bilion untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu. Pada masa sama, jumlah aset juga menunjukkan penambahan dengan melebihi liabiliti pada jumlah RM2.3 bilion,” katanya.

Terdahulu UJ memaklumkan, selepas pertukaran kerajaan pada 2018, PwC yang dilantik untuk mengendalikan kajian semula kedudukan kewangan ke atas Lembaga TH mendapati pelbagai langkah diambil oleh pentadbiran terdahulu bagi memalsukan peningkatan serta memanipulasi keuntungan dana.

Jelasnya, antara penemuan-penemuan tersebut termasuk tidak merekodkan kerugian rosot nilai aset dan transaksi kewangan yang mencurigakan bagi mencatatkan keuntungan berganda untuk membayar hibah malah liabiliti-liabiliti TH melebihi aset-asetnya.

“Pada Januari 2019, TH membuat laporan polis berhubung dengan penyata kewangan untuk tahun 2017. Diperbadankan, memperoleh aset-aset bernilai RM9.63 bilion daripada TH dengan jumlah RM19.9 bilion melalui terbitan dua siri sukuk dan tunai. Ini bermaksud kerajaan membayar RM10.3 bilion tambahan untuk memulihkan TH.

“Aset-aset yang dipindahkan kepada UJ termasuk ekuiti tersenarai, 29 hartanah dan satu aset tidak tersenarai. Ia meliputi empat hotel yang beroperasi iaitu TH Hotel Kota Kinabalu; TH Hotel Bayan Lepas; TH Hotel & Convention Centre Alor Setar; dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu. Walau bagaimanapun, pemindahan milik ini tidak termasuk hartanah atau aset milikan TH Plantations (yang sahamnya kekal dimiliki LTH),” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas