Berita

Merbau Avenue tarikan baharu Taman Botani Putrajaya

KHALID (kiri) menanam anak pokok merbau di kawasan Merbau Avenue di Taman Botani Putrajaya pagi tadi.
- Diterbit 20 Februari 2020 4:45 AM MYT

PUTRAJAYA  – Taman Botani Putrajaya menambah satu lagi tarikan baharunya iaitu Merbau Avenue sekali gus memperkayakan lagi kepelbagaian koleksi tumbuhan yang menarik dan unik di 20 taman bertema sedia ada di kawasan tersebut.

Pelancaran tarikan baharu itu disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad melalui program penanaman sebanyak 220 batang pokok merbau atau Malacca Teak (Instsia palembanica) di sepanjang laluan 350 meter di taman tersebut.

Program yang dianjurkan Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Jabatan Landskap Negara (JLN) itu merupakan salah satu pengisian Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2020.

Khalid berkata, pokok merbau dipilih kerana ia telah dinobatkan sebagai Pokok Kebangsaan Malaysia oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika merasmikan Pameran ‘Hutan Kita’ di Menara Kuala Lumpur pada 22 Ogos 2019.

“Pokok ini sangat unik kerana sifatnya yang tahan lasak serta kayunya yang berkualiti tinggi di samping menjadi lambang keutuhan integriti hutan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Merbau Aveneu dan acara penanaman 220 batang pokok merbau di Taman Botani Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman; Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah JLN, Rotina Mohd. Daik; Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr. Abd. Latiff Mohmod dan Presiden Malaysian Nature Society, Prof. Dr. Ahmad Ismail.

Khalid berkata, Merbau Aveneu merupakan satu lakaran sejarah untuk Taman Botani Putrajaya kerana tarikan baharu itu dapat meningkatkan imej dan mempromosikan Putrajaya di mata dunia.

“Pembangunan Merbau Aveneu bukan sahaja memberikan suasana persekitaran yang sejuk dan nyaman malah berfungsi untuk mengurangkan pemanasan global melalui penyerapan karbon dioksida selain pemuliharaan terhadap alam sekitar.

“Ia juga untuk mengelakkan kepupusan flora dan fauna di Malaysia. Pembangunana Merbau Aveneu adalah contoh pembangunan lestari yang perlu dikekalkan supaya dapat dinikmati sehingga generasi akan datang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas