Biz

TH umum kontrak simpanan Wakalah berkuat kuasa 31 Disember

MENARA TH. - Gambar hiasan
- Diterbit 12 Disember 2019 6:31 AM MYT

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan peralihan kepada kontrak simpanan berkonsepkan Wakalah yang memberi lebih nilai tambah dan manfaat kepada pendeposit.

Pelaksanaan itu juga tidak akan menjejaskan apa-apa kemudahan dan manfaat akaun sedia ada berkuat kuasa 31 Disember ini.

TH dalam kenyataannya baru-baru ini memaklumkan, peralihan tersebut bagi menggantikan kontrak simpanan Wadiah Yad Dhamanah yang digunakan sebelum ini.

“Menerusi kontrak baharu ini, TH adalah wakil untuk menguruskan dana pendeposit bagi tujuan aktiviti pelaburan dan operasi haji.

“Malah, keuntungan yang dijana setiap tahun pula akan diagihkan kepada pendeposit berdasarkan prestasi kewangan TH.

“TH sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan­nya dengan melaksanakan pembaharuan dan penstrukturan demi manfaat pendeposit,” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, pendeposit tidak perlu mengisi apa-apa dokumen baharu dan boleh berurusan seperti biasa di mana-mana pejabat cawangan TH di seluruh negara.

“Dengan mengekalkan deposit bersama TH selepas 31 Disember ini pendeposit dianggap telah memberi persetujuan terhadap peralihan kepada kontrak simpanan berkonsepkan Wakalah,” kata kenyataan itu lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas