Biz

‘Koperasi’ pada nama kementerian

HATTA (kiri) menerima cenderamata yang disampaikan oleh Ariffin
- Diterbit 12 Disember 2019 6:39 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

BANGI – Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) sedang menyediakan kertas Kabinet berhubung cadangan menambah perkataan ‘koperasi’ pada nama kementerian berkenaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Mohd Hatta Md. Ramli berkata, kertas Kabinet itu antara lain memperincikan tujuan penambahan perkataan tersebut selaras dengan hasrat pihak koperasi yang mahu mengukuhkan peranan dan jenama koperasi di bawah kementerian yang bertanggungjawab.

“Institusi seperti Institut Koperasi Malaysia (IKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) merupakan agensi yang sentiasa mahu mengukuhkan peranan koperasi agar dihubungkan terus kepada nama kementerian yang bertanggungjawab.

“Tuntutan koperasi ini adalah munasabah kerana penambahan perkataan tersebut mampu melonjakkan peranan institusi itu bagi menjadi satu gerakan ekonomi rakyat yang kuat sebagai ekonomi ketiga terpenting di negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Bicara CEO – Kongsi Pengalaman Usahawan Berjaya di sini baru-baru ini.

Terdahulu, di dalam ucapannya, Mohd. Hatta menjangkakan nama koperasi akan dapat digunakan kementerian tersebut pada tahun depan setelah Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusoff membawa kertas cadangan tersebut ke mesyuarat Kabinet akan datang.

Sementara itu, Mohd. Hatta turut menggesa gerakan koperasi agar mengubah paradigma daripada menjalankan perniagaan berbentuk pembiayaan kepada bidang perniagaan baharu seperti bidang ternakan dan hartanah seiring dengan perkembangan dan tuntutan ekonomi semasa.

“Cara lama perniagaan koperasi yang menjurus kepada pinjam-meminjam memang kurang risiko tetapi pendapatan juga tidak begitu besar dan sebab itu ALK (ahli lembaga koperasi) perlu menggerakkan koperasi terlibat dalam industri yang lebih besar dan menguntungkan,” katanya.

Terdahulu, program Seminar Bicara CEO – Kongsi Pengalaman Usahawan Berjaya itu melibatkan usahawan berjaya dan wakil gerakan koperasi serta kerajaan anjuran IKM dihadiri 945 peserta mewakili 700 koperasi.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh; Ketua Pengarah IKM, Ariffin Mamat dan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fatah Abdullah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas