Berita

TH tawar perlindungan takaful berganda TH Khairat

- Diterbit 16 Februari 2024 2:25 PM MYT

LEMBAGA Tabung Haji (TH) menawarkan peluang kepada pendeposit untuk mendapatkan perlindungan takaful TH Khairat berganda dengan manfaat kewangan sehingga RM24,000 menerusi dua sijil perlindungan.

Menurut TH pendeposit kini boleh mendaftar dan melanggan perlindungan takaful TH Khairat dengan memilih kedua-dua pengendali takaful yang dilantik iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLM Takaful).

“Dengan mengekalkan langganan tahunan serendah RM28 bagi setiap perlindungan, manfaat kewangan yang ditawarkan adalah sebanyak RM12,000 daripada setiap pengendali takaful kepada penerima manfaat yang dinamakan.

“Sekiranya pendeposit memilih untuk mendaftar TH Khairat dengan kedua-dua pengendali takaful, pendeposit hanya perlu menyumbang RM56 setahun dan penerima manfaat layak membuat tuntutan dengan jumlah keseluruhan RM24,000 iaitu RM12,000 daripada STMB dan RM12,000 daripada HLM Takaful,” menurut TH dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Operasi TH Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata setakat ini, lebih 73,000 pendeposit telah melanggan perlindungan takaful itu dengan sambutan yang amat menggalakkan dalam masa enam bulan sahaja sejak ia dilancarkan pada 31 Julai lepas.

“TH menyambut baik maklum balas pelanggan yang berhasrat untuk mendaftar TH Khairat dengan kedua-dua pengendali Takaful. Alhamdulillah, dengan persetujuan dan kesepakatan bersama pengendali Takaful, pendeposit kini boleh mendaftar dengan kedua-dua pengendali Takaful.

“Penerima manfaat boleh menuntut manfaat kewangan RM12,000 daripada kedua-duanya menjadikan jumlah perlindungan yang layak diterima sebanyak RM24,000,” katanya.

Mohamed Ameen berkata TH akan terus komited dan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan sedia ada selain memperkenalkan perkhidmatan baharu yang memberi manfaat kepada pendeposit pada masa akan datang.

Sebarang maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan ini, sila layari www.tabunghaji.gov.my atau menghubungi Pusat Panggilan TH (THCC) di talian 03-62071919. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas