Berita

Kastam gagalkan cubaan seludup keluar wang tunai RM170,000 di KLIA

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 16 Februari 2024 2:10 PM MYT

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar wang tunai berjumlah RM170,000 oleh seorang penumpang warga China di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang pada 27 Jan lepas.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata wang tunai berkenaan ditemukan hasil pengimbasan terhadap beg galas yang dibawa penumpang terbabit yang ingin berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand.

“Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan menjumpai wang tunai nota RM100 sebanyak 1,700 helai dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM170,000.

“Penumpang tersebut didapati tiada atau gagal membuat pengikraran dalam Borang Kastam No. 7 serta gagal mengemukakan permit kebenaran dari Bank Negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata individu berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLAFTPUAA 2001) yang boleh dikenakan denda maksimum RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut Wong, kes  itu merupakan kes penyeludupan mata wang Ringgit Malaysia yang pertama bagi tahun ini oleh penumpang antarabangsa ke luar negara melalui Balai Berlepas Antarabangsa KLIA Terminal 1. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas