Biz

Terima zakat korporat RM6.63 juta

AHMAD SHUKRI (belakang lima dari kanan) bersama pembayar zakat perniagaan pada Majlis Zakat Korporat 2019 baru-baru ini.
- Diterbit 6 Disember 2019 9:35 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

PUTRAJAYA – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima zakat perniagaan berjumlah RM6.63 juta daripada 21 buah syarikat korporat pada Majlis Zakat Korporat 2019 di sini baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff berkata, program kedua pada tahun ini diadakan bagi menggalakan lebih banyak syarikat untuk menunaikan zakat perniagaan di Wilayah Persekutuan.

“Pada tahun ini, PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM147 juta daripada 3,000 syarikat.

“Sebanyak RM88 juta jumlah kutipan terkumpul bagi tempoh Januari hingga November lalu menunjukkan penurunan sebanyak tiga peratus bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Zakat Korporat baru-baru ini.

Mengulas tentang penurunan kutipan, jelas Ahmad Syukri, PPZ-MAIWP tetap meletakkan keyakinan sasaran kutipan zakat keseluruhan berjumlah RM710 juta.

Ini kerana, katanya, pada tahun ini, jumlah tersebut akan melibatkan 190,000 pembayar zakat.

“Antara syarikat korporat yang menunaikan kewajipan berzakat adalah Angkatan Koperasi Kebangsaan (M) Berhad, Asri Ahmad Akademy Sdn. Bhd., Etiqa Family Takaful Berhad, Etiqa General Takaful Berhad dan Menara Kuala Lumpur.

“PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM1 bilion menjelang 2023. Bagi mencapai sasaran berkenaan kita memperkenalkan Skim Kafalah Muzakki yang memberikan manfaat kepada waris pembayar zakat dan Skim Wakalah iaitu pengembalian wang zakat untuk diagihkan sendiri kepada asnaf yang layak,” katanya.

Tambah Ahmad Shukri, pihak nya akan mengeluarkan Sijil Perakuan Pembayar Zakat kepada pihak syarikat yang mengeluarkan zakat dengan PPZ-MAIWP.

“Sijil khas ini sebagai perakuan dan ia dapat memberikan keyakinan kepada umat Islam untuk menggunakan perkhidmatan syarikat tersebut.

“Sebagai contoh, keyakinan orang ramai dapat ditingkatkan apabila ada restoran makanan segera yang membayar zakat perniagaan dengan pihak kami dengan memaparkan sijil berkenaan di premis mereka,” katanya.

Terdahulu, majlis penyerahan zakat tersebut disaksikan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas