Patin tempoyak tarikan Restoran Samudera

Patin tempoyak tarikan Restoran Samudera

KALAU bercakap bab ikan patin pasti ramai yang akan terbayang keenakan patin masak tempoyak yang sinonim dengan bandar Temerloh, Pahang.

PATIN masak tempoyak

Kelazatan menu ikan sungai yang satu ini berjaya menarik perhatian sehinggakan ramai yang sanggup datang ke bandar yang popular dengan jolokan bandar ikan patin tersebut semata-mata untuk merasainya.

Pun begitu, bagi yang tidak berkesempatan ke sana, tahukah anda, di Putrajaya juga terdapat sebuah restoran yang menyajikan hidangan ikan sungai kegemaran ramai ini?

Terletak di Kelab Tasik Putrajaya, Restoran Samudera merupakan antara restoran yang menghidangkan aneka hidangan berasaskan ikan patin antaranya masak tempoyak.

MOHAMED ZAIN

Menurut pengasas restoran yang juga merupakan anak jati kelahiran Pahang, Datuk Mohamed Zain Abdul Malek, restorannya membekalkan tiga jenis ikan patin antaranya patin sangkar, patin buah dan liar.

“Ketiga-tiga patin tersebut mempunyai rasa keenakan yang tersendiri namun bagi patin buah dan liar harganya lebih mahal dan hanya disediakan bergantung kepada pesanan,” ujarnya.

Bercerita lanjut tentang hidangan patin di restoran yang diambil alih olehnya sejak dua bulan lalu itu, pemilihan ikan dan tempoyak adalah perkara yang amat penting.

BUTTER Prawn

“Perlu bijak kenal pasti lokasi ikan patin yang sedap di Sungai Pahang. Ikan patin yang bagus adalah di Sungai Pahang. Kombinasi dua perkara itu perlu dititikberatkan untuk menghasilkan rasa yang hebat,” ujarnya.

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam perniagaan katering, menurut Mohamed Zain, kualiti kesegaran ikan perlu diberi perhatian supaya pelanggan percaya dengan perkhidmatan yang disediakan.

CHIKEN Lemon

Bercerita lanjut tentang restoran Samudera, selain masakan Melayu, terdapat juga masakan Cina dan India.

“Pelanggan di sini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat jadi sudah semestinya pilihan juga perlu pelbagai. Selain pilihan makanan, kita juga turut menyediakan pakej sarapan pagi dan petang pada harga mampu milik,” ujarnya.

Mampu memuatkan 650 orang dalam satu-satu masa, restoran dua tingkat ini sentiasa menerima kunjungan ramai ketika waktu makan tengah hari dan juga hujung minggu.

INFO Restoran Samudera
• Lokasi: 2, Jalan P8, Presint 8, 62250, Putrajaya
• Waktu Operasi: Isnin hingga Khamis (10 pagi hingga 10 malam) Jumaat hingga Ahad (8 pagi hingga 10 malam)
• Telefon: 03-8889 5008
• Cawangan:
D’Patin Garden, Bukit Dugang, Dengkil
D’Patin MZ Cafe, Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya Kiosk
D’Patin (berhampiran istana kehakiman, Putrajaya) Restoran
D’Patin, Annexe Resort, Kuantan

CATEGORIES