Berita

Terima lebih 1,000 panggilan, rakyat minta bantuan kewangan 

SHAHIDAN ketika sidang media Hari Sukan Negara 2021 di Autrium Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya hari ini.
- Diterbit 9 Oktober 2021 8:14 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengakui menerima banyak panggilan telefon meminta pertolongan berupa kewangan daripada orang ramai sejurus mendedahkan nombor telefon peribadinya kepada umum Khamis lalu.

“Saya mendapat agak banyak mesej yang meminta bantuan kewangan, bantuan rumah Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) selain ada yang minta tukar lif dan juga kawan-kawan lama yang turut menghubungi,” ujar beliau dalam satu sidang media sejurus merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 peringkat Wilayah Persekutuan hari ini.

Kata Shahidan, beliau tidak menyangka akan menerima banyak aduan berkenaan perkara lain daripada hal-hal berkaitan kerosakan jalan raya di Kuala Lumpur.

“Sejak kelmarin kita menerima lebih 1,000 panggilan telefon dan saya akan pastikan ia dijawab kerana sudah menjadi kewajipan pemimpin untuk mendengar suara dan membantu rakyat.

“Saya juga minta maaf kerana tidak dapat menjawab panggilan telefon serta merta tetapi kalau yang menghantar pesanan mesej, Insya-Allah saya akan jawab serta merta,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Shahidan memberitahu telah menggerakkan aduan berhubung jalan berlubang dan dalam usaha menanganinya.

Terdahulu, Shahidan berkongsi nombor telefon pimpinan tertinggi kementerian termasuk dirinya dalam usaha menyelesaikan aduan warga kota berhubung kerosakan jalan raya di Kuala Lumpur. –WILAYAHKU- HAZIRAH HALIM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas