Berita

Terima dana pinjaman hujung Mac

ZAIZALNIZAM (kanan) mengetuai panel temuduga salah seorang pemohon SMKWP di bangunan YWP, Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 13 Mac 2020 6:26 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kumpulan pertama permohonan Skim Mikro Kredit Wilayah Persekutuan (SMKWP) bakal mendapat pinjaman mudah tersebut bermula hujung Mac ini selepas kesemua mereka berjaya melepasi proses temuduga dan tapisan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Zaizalnizam Zainun berkata, dana pinjaman tanpa faedah tersebut bakal disalurkan ke dalam akaun Bank Islam setiap pemohon yang berjaya.

“Bagi yang tiada akaun Bank Islam, kita akan bantu mereka membuka akaun di bank tersebut bagi memudahkan penyaluran dana pinjaman tersebut,” katanya kepada Wilayahku di sini semalam.

Zaizalnizam berkata, proses temuduga dan saringan akan diteruskan bagi memenuhi prosedur kelulusan permohonan-permohonan yang diterima daripada peniaga terbabit.

“Kesemua pemohon kumpulan pertama yang telah diluluskan itu bakal menerima pinjaman maksimum RM5,000. Setakat ini pegawai dan kakitangan YWP telah turun padang termasuk pada waktu malam untuk meninjau operasi tapak niaga setiap pemohon sebagai proses saringan. Ini bagi memastikan pemohon benar-benar mempunyai perniagaan dan ada komitmen berterusan,’’ jelas beliau.

SMKWP telah dibuka permohonannnya bermula 18 Februari lepas dengan nilai maksimum RM5,000 bagi kemudahan peniaga kecil dari kumpulan B40 di Wilayah Persekutuan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi skim tersebut yang dianggar dapat memberi manfaat kepada 100 peniaga.

Skim yang dikendalikan YWP dengan kerjasama Bank Islam itu menawarkan pinjaman mudah dengan bayaran balik serendah RM20.19 se­minggu.

Kumpulan sasar skim itu ialah pemegang lesen penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas