Berita

Lepasan tahfiz pelatih terbaik

MUHAMMAD AZRUL menerima anugerah pelatih terbaik Skuad 24/2019, Jabatan Penguatkuasaan DBKL baru-baru ini.
- Diterbit 13 Mac 2020 6:33 AM MYT

KUALA LUMPUR – Dorongan dan kata-kata semangat bapa menjadi sumber inspirasi kepada Muhammad Azrul Naim Azahari untuk menceburi bidang beruniform sebagai pelatih Pembantu Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Muhammad Azrul Naim, 24 yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor merupakan antara 166 pelatih yang berjaya menamatkan Latihan Kursus Asas Pembantu Penguatkuasa KP19 Skuad 21, 22/2018 dan Skuad 24/2019, Jabatan Penguatkuasaan DBKL.

Beliau dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Skuad 24/2019 sekali gus menerima Piala Pusingan dan Piala Pelatih Terbaik Tahun 2020.

Piala berkenaan disampaikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan sempena Perbarisan Tamat Latihan Pembantu Penguatkuasa DBKL siri berkenaan yang diadakan di Astaka Taman Tasik Titiwangsa di sini baru-baru ini.

Muhammad Azrul Naim yang berkelulusan Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berkata, dia tidak menyangka menerima anugerah dan kejayaannya itu memberi semangat kepadanya untuk berjaya dalam bidang penguatkuasaan.

“Apabila ditawarkan jawatan sebagai Pembantu Penguatkuasa, saya gembira kerana berpeluang membantu warga kota serta paling utama dapat menggembira bapa kerana beliau memang mendorong saya untuk menyertai pasukan pakaian seragam,” katanya kepada Wilayahku selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pembantu Penguatkuasa.

Dalam pada itu, Mohamad Syafiq Ali Nordin dipilih sebagai Pelatih Terbaik Skuad 21/2018 manakala Afi Asyraf Razman dipilih sebagai Pelatih Terbaik Skuad 22/2018.

Terdahulu dalam ucapannya, Nor Hisham mengharapkan agar pasukan penguatkuasa yang dipilih mempunyai ketahanan mental dan fizikal agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik untuk DBKL.

“Menjadi anggota penguatkuasa memerlukan pengorbanan yang tinggi. Ini termasuk menangani cabaran warga kota yang sering mempersoalkan ketelusan dan keadilan semasa anggota penguatkuasa menjalankan tugas di lapangan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas