Berita

Terap pemikiran ikut acuan nilai budaya, agama

Rozman bersama peserta konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang tiba di Laman Victoria untuk mengedarkan Jalur Gemilang.
Rozman bersama peserta konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang tiba di Laman Victoria untuk mengedarkan Jalur Gemilang.
- Diterbit 23 Ogos 2019 5:00 AM MYT

Oleh Md Khairul Azad Yunus, Jeffrey Nian dan Roziman Mahmudin

LABUAN – Rakyat diingatkan untuk tidak terlalu hanyut dibuai dengan kemajuan dan pembangunan yang telah dicapai tanpa dihiasi dengan pemikiran yang menggambarkan peningkatan jiwa dan rohaniah.

Menurut Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, cabaran generasi kini untuk mengisi kemerdekaan adalah berbeza dengan generasi terdahulu yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan.

“Adakah generasi kini mempunyai memenuhi kriteria sebagai rakyat yang menghargai dan menghayati kemerdekaan negara, adakah kerana semakin jauh satu generasi dengan tarikh kemerdekaan, maka semakin menurunlah semangat dan penghayatan tentang pentingnya kemerdekaan terhadap sesebuah negara.

“Tidak kurang juga yang berfikiran kemerdekaan itu ialah kebebasan individu yang berorientasikan pemikiran liberal, tidak terikat kepada kepentingan kelompok, puak, suku dan keturunan. katanya

Semasa merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang, Kembara Merdeka Jalur Gemilang Dan Merdeka@Komuniti 2019 Peringkat W.P Labuan, baru-baru ini.

Menurut Rozman, perubahan zaman dan teknologi komunikasi, merubah landskap pemikiran manusia untuk cepat melatah, lalu yang tidak benar dikatakan benar dan yang benar dikatakan sebaliknya.

“Walau apa jua rintangan yang mendatang, belum terlambat untuk kita semua terutama warga Labuan untuk bangkit dan mula menerapkan pemikiran merdeka yang sebenar mengikut acuan sendiri berlandaskan agama, nilai budaya yang positif dan pemikiran yang maju serta berhemah,”katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Labuan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman berkata, Wilayah Persekutuan Labuan juga tidak ketinggalan untuk menyahut seruan dengan mengadakan beberapa pengisian bagi sama-sama menggelorakan sambutan Bulan Kebangsaan.

“Berkat kerjasama agensi-agensi Kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan Kerajaan, rakan media dan pelbagai pihak kita berjaya mengadakan program-program antaranya ialah Kembara Merdeka Jalur Gemilang, Merdeka@komuniti, Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan, Pertandingan Pidato Kenegaraan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas