Berita

Kenang jasa tokoh kemerdekaan

AMIR (berdiri, empat dari kanan) bergambar bersama pemenang Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 2019, Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini.
AMIR (berdiri, empat dari kanan) bergambar bersama pemenang Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 2019, Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini.
- Diterbit 23 Ogos 2019 4:59 AM MYT

LABUAN – Masyarakat diingatkan agar tidak melupakan jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh negara dalam memulakan proses pembinaan negara bangsa yang berjaya.

Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien berkata, di sebalik kenikmatan yang dirasai sebagi rakyat yang bernaung di bawah negara yang bebas, sudah pasti terdapat tokoh-tokoh yang berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan.

“Sentiasa menghargai dan mengingati perjuangan tokoh-tokoh negara ini adalah salah satu cara bagaimana kita menyuburkan semangat patrio­tisme dan cinta kepada negara.

“Kita mencintai Malaysia dan tokoh-tokoh kemerdekaan yang berjaya menyelamatkan maruah tanahair daripada dirobek dan wajar bagi kita menghargai tokoh-tokoh kemerdekaan negara dengan cara mengenang jasa mereka,” katanya ketika berucap merasmikan.

Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 2019, Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan baru-­baru ini.

Hadir sama Pengerusi Komuniti Harapan Malaysia, Wilayah Persekutuan Labuan, Simsudin Sidek dan Pe­ngarah Penerangan Labuan, Supian Musa.

Amir berkata, tokoh-tokoh yang menjadi pejuang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum yang datang daripada latar belakang yang berlainan.

“Mereka bekerja bersama bagi membebaskan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak daripada belenggu penjajah, amat rugilah jika kita tidak me­neruskan kesinambungan yang terjalin sebagai tanda kenangan kita kepada pejuang tanah air,’’ katanya.

Mengulas mengenai program tersebut, beliau menggalakkan ma­syarakat menyampaikan pandangan mengenai peristiwa-peristiwa ber­sejarah dan juga tokoh-tokoh yang telah diiktiraf kejayaan mereka di negara ini sebagai satu usaha pendidikan berterusan yang boleh dimanfaatkan dalam pro­ses pembinaan negara bangsa dan jati diri rakyat Malaysia.

“Pengisahan Kenegaraan juga menyuburkan semangat integrasi nasional antara wilayah, suku kaum, budaya, agama dan kepercayaan me­lalui rentetan sejarah serta perjuangan tokoh-tokoh negara semasa berjuang menentang penjajahan dan membina sebuah negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah,” jelasnya.

Pada pertandingan itu, Kumpulan Sinaran Maida yang membawakan tajuk pengisahan ‘P. Ramlee Seniman Agung Negara’ berjaya menjadi johan dan sekali gus mewakili Labuan pada Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan di Terengganu pada 27 hingga 29 September ini.

Kumpulan Pearl Revolution dan Team Pisangs masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas