Selebriti

Populariti hampir ‘bunuh’ Farah Nabilah

|FARAH baru sahaja melangsungkan perkahwinan minggu lalu.
- Diterbit 27 Disember 2019 10:04 AM MYT

Oleh Ibnatie Aziza Mat Roff

Bukan mudah menjalani kehidupan sebagai seorang selebriti popular. Ada ‘harga’ yang harus dibayar demi populariti yang melingkari hidup mereka.

Adakalanya masalah kemurungan atau depresi melanda dan paling menyakitkan ia mampu ‘membunuh’ jiwa.

Misalnya baru-baru ini seorang artis popular Korea ditemui mati kerana membunuh diri akibat dibelenggu kemurungan. Peristiwa tersebut sedikit sebanyak membuatkan ramai selebriti tempatan mula terkesan dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Pernah berdepan dengan masalah tersebut, pelakon popular, Farah Nabilah, 27, mengakui situasi kemurungan yang dialaminya ketika mula mencipta nama dalam bidang seni sekitar tahun 2011 merupakan mimpi buruk yang tidak dapat dilupakan.

Tiga bulan mengalami kemurungan kerana berasakan tiada ruang peribadi dalam hidup ketika itu, Farah hanya berkurung dalam bilik seolah-olah hilang kenikmatan hidup yang pernah dikecapi.

“Saya seorang yang ‘low profile’ dan tidak suka mendedahkan perkara peribadi melainkan hal kerja. Jadi, apabila saya tiba-tiba mendapat perhatian dan meniti populariti, saya tidak boleh terima pada permulaannya.

“Pada saya, depresi adalah sesuatu yang benar dan bukan boleh dibuat main-main. Kadang-kadang, perkataan yang dilemparkan oleh netizen juga merupakan antara faktor yang menyumbang kepada tekanan perasaan dalam kalangan selebriti.

“Mereka main cakap sahaja dan jauh sekali memikirkan perasaan orang. Bayangkan, kalau ibu atau kawan rapat bercakap sesuatu yang buruk tentang kita, sudah tentu kita tertekan apatah lagi satu dunia yang bercakap,” ujarnya.

Katanya lagi, apabila di sana sini ramai yang berkata sudah tentu mangsa akan berfikir lebih baik mati sahaja kerana tidak tertanggung rasa malu, lebih-lebih lagi jika yang tersebar hanya fitnah,” ujarnya.

Jelas anak sulung daripada enam adik-beradik ini lagi, orang luar atau peminat yang tidak mengenali seseorang selebriti secara mendalam seharusnya tidak perlu berlebihan dalam meninggalkan komen di laman sosial.

“Peminat seharusnya memberi sokongan dalam apa jua bentuk kerana selebriti adalah manusia biasa yang turut mempunyai hati dan juga perasaan sama seperti mereka,” ujar pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Titian Cinta ini.

Sokongan moral

Menyedari realiti kehidupan setelah popular berubah 100 peratus, Farah bersyukur kerana ibunya, Haslina Ismail, tidak putus-putus memberikan sokongan moral ketika dia dilanda kemurungan.

“Ibu membantu saya dengan mengajak saya pergi ke masjid, solat bersama-sama dan mengaji al-Quran. Alhamdulillah, kemudian saya mula belajar menerima keadaan dan mula pulih seperti sediakala,” ujarnya.

Baru sahaja mendirikan rumahtangga dengan jejaka pilihan hatinya, Mohammed Amirul Yunus, 28, yang merupakan seorang juruterbang, Farah sama sekali tidak pernah terfikir kehilangan populariti kerana perkahwinan.

“Pada saya, itu bukan hal yang perlu dibimbangkan. Perkahwinan merupakan suatu perkara yang baik dan disukai Allah. Saya lebih mahu menjaga hati keluarga, suami dan mertua. Itu yang paling penting,” kata Farah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas