Berita

TEMA KENEGARAAN DAN PERPADUAN DALAM 4 FILEM MALAYSIA

||||
- Diterbit 5 September 2021 2:00 AM MYT

SALAM Merdeka buat pembaca Wilayahku! Meskipun sudah memasuki bulan September namun semangat patriotik itu masih perlu diteruskan kerana kita bakal menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini. Filem bertemakan kenegaraan dan perpaduan kaum sangat penting dalam membawa mesej bercorak perpaduan dan mampu memberi kesedaran kepada rakyat agar dapat bersama-sama memperkukuhkan semula perpaduan kaum yang adakalanya tampak goyah. Edisi kali ini, Wilayahku kongsikan empat filem perpaduan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam sanubari rakyat Malaysia.

#1 Ola Bola

Pengarah: Chiu Keng Guan
Pelakon: JC Chee, Luqman Hafidz, Saran Kumar Manokaran

FILEM Ola Bola mengangkat kisah benar pemain bola sepak negara era 80-an untuk bangkit daripada kekecewaan, sekali gus muncul wira negara apabila Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow, Rusia pada 1980. Pasukan bola sepak negara ketika itu berdepan dengan cabaran apabila pemain-pemainnya mempunyai perbezaan pendapat dan tidak sehaluan sehingga menyebabkan kekalahan dalam perlawanan penting. Keadaan semakin rumit apabila hampir setiap pemain mempunyai isu dan masalah masing-masing. Walau bagaimanapun, mereka hanya mempunyai satu peluang untuk beraksi di persada mata dunia. Jadi, barisan pemain harus mengetepikan hal peribadi demi mengharumkan nama negara. Ketika semangat kembali menyemarak dalam diri, pasukan negara sekali lagi diduga dengan satu cabaran yang mematahkan semangat mereka dan harapan negara. Ola Bola yang diilhamkan dari peristiwa sebenar ini akan membawa penonton dari pelbagai bangsa untuk sama-sama merasai semangat bersatu hati dan muhibah. Kisah yang penuh iktibar ini akan membawa penonton melihat semangat, keunikan dan kekuatan yang terdapat dalam kepelbagaian bangsa di Malaysia.

#2 Estet

Pengarah: Mamat Khalid
Pelakon: Farid Kamil, Shashi Tharan, Sofi Jikan

ESTET menceritakan tentang kehidupan di Estet Cinta Manis yang terkenal dengan keharmonian masyarakatnya tetapi tiba-tiba digemparkan dengan berita mengenai perlawanan bola sepak yang akan diadakan bersama Estet Red Cobra. Farid dan Shashi, dua pekerja estet yang berkawan sejak kecil. Mereka menjadi harapan pekerja estet yang lain untuk menyelamatkan penindasan yang dilakukan oleh kerani estet, Pooniah. Seorang gadis cantik, Geetha tertawan dengan heroism dan kebenaran hati Farid dan Shashi. Apa yang mengejutkan, perlawanan bola sepak itu sebenarnya diadakan kerana Pooniah ingin menuntut hutangnya daripada Subramaniam, bapa Geetha dan jika Subramaniam yang mewakili Estet Cinta Manis tewas dalam perlawanan itu, Geetha kan menjadi milik Pooniah. Berjayakah Farid dan Sashi menyelamatkan Estet Cinta Manis dan Geetha dalam perlawanan itu?

#3 Adiwiraku

Pengarah: Eric Ong
Pelakon: Sangeeta Krishnasamy, Xavier Fong, Rizal Fahmi

NASKHAH Adiwiraku dikupas dari kisah benar mengenai seorang guru Bahasa Inggeris, Cheryl Ann Fernando yang sanggup melakukan apa sahaja demi melihat anak muridnya berjaya. Kisah yang pernah menjadi tular di media sosial ini menceritakan kesungguhannya dalam mengharungi pelbagai tekanan demi mendidik para pelajarnya. Menariknya, hampir 90 peratus pelakon dalam filem ini menggunakan pelajar sebenar Sekolah Menengah Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah yang merupakan pelajar asal yang terlibat dalam pertandingan Choral Speaking peringkat negeri. Filem ini menitikberatkan nilai percaya diri dan tidak mengharapkan bantuan daripada orang lain untuk mencapai matlamat hidup. Sebaliknya kita harus berhenti merungut kerana usaha itu perlu bermula dari diri sendiri. Adiwiraku sarat dengan nilai moral jadi tidak hairanlah ramai yang menyeka air mata saat menonton filem ini.

#4 Kolumpo

Pengarah: Sheikh Munasa, Bront Palarae, Rozi Izma
Pelakon: Sharifah Amani, Azad Jasmin, Ruminah Sidek

KOLUMPO mengetengahkan kisah pelbagai kaum di ibu kota Kuala Lumpur yang jarang diberi perhatian. Menariknya, filem ini menggabungkan kesemua kaum utama iaitu Melayu, Cina, India tetapi mengekalkan dialog dalam bahasa ibunda masing-masing. Bercerita tentang harapan dan impian warga kota Kuala Lumpur, filem ini membawa penonton ke latar Pasar Seni ke KLCC sampai ke Setapak, filem ini mengaitkan cerita-cerita tentang harapan dan impian warga kota Kuala Lumpur. Mempunyai tiga jalan cerita berlainan namun pergabungan ketiga cerita ini akan menghasilkan sebuah kolaidaskop hidup di bawah langit kota Kuala Lumpur yang bakal menyayat dan mencuit hati para penonton. Jangan lupa untuk tonton Kolumpo pada hujung minggu ini!

-WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas