Singgah

TCP medan uji adrenalin

- Diterbit 8 Disember 2023 7:30 AM MYT

BAGI peminat sukan lasak, pasti sinonim dengan Taman Cabaran Putrajaya (TCP), Presint 5 yang menawarkan tiga tarikan utama iaitu Kompleks Pendakian Dinding Dalam Dalaman, Skate Park dan Thrill Park serta Laluan Basikal Gunung.

Tahukah anda Speed Climbing Kompleks Sukan Mendaki TCP yang baru siap dibina pada tahun ini merupakan satu-satunya course speed climbing bertaraf Olimpik yang diiktiraf oleh International Federation Sport Climbing di Malaysia.

AKSI Mohd Bazly yang juga merupakan bekas atlet negara bagi sukan papan selaju.

Menurut Penolong Pengurus TCP, Mohd Bazly Mohamad Najib, dengan keluasan 30 hektar, kompleks tersebut mempunyai enam zon utama untuk pendaki pakar dan juga permulaan.

“Kebanyakan pendaki melakukan latihan mereka di sini selain ia turut menjadi lokasi untuk para atlet mengutip mata bagi melayakkan diri ke kejohanan antarabangsa.

“Mereka dibenarkan untuk membawa peralatan sendiri namun akan diperiksa terlebih dahulu oleh kakitangan manakala bagi yang tiada peralatan, boleh menyewa dengan harga serendah RM3 (kapur), tali (RM15), abah-abah (RM5), kasut memanjat (RM7) dan peranti belay (RM4),” ujarnya baru-baru ini berlangsung Kejohanan Mendaki Wall Climbing Peringkat Kebangsaan di lokasi tersebut.

Selain menjadi hab sukan antarabangsa, objektif TCP juga adalah untuk menurunkan kadar obesiti di Putrajaya khususnya dalam kalangan kanak-kanak serta mewujudkan komuniti sihat selaras dengan Blueprint Sukan Putrajaya.

“Harga yang ditawarkan juga berpatutan iaitu RM6 bagi dewasa manakala pelajar RM3. Kebiasaannya kita menerima jumlah pengunjung yang ramai pada hujung minggu dan Rabu di mana kebanyakannya adalah komuniti luar.

“Pengunjung dibenarkan membawa belayer yang telah diiktiraf dan mempunyai sijil namun bagi mereka yang baharu, boleh mendapatkannya di kaunter,” ujarnya pihak keselamatan akan meronda setiap satu hingga ke dua jam bagi memastikan keadaan terkawal.

Tambahnya, kompleks yang mampu menempatkan sehingga 500 orang pengunjung dalam satu-satu masa itu turut menyediakan fasiliti lengkap seperti tandas, surau, kafeteria, bilik persediaan dan sebagainya.

Berkeluasan satu padang bola sepak, di sini juga merupakan lokasi papan luncur terbesar di Malaysia selain turut popular bagi rakaman iklan dan aksi ekstrem papan luncur.

Ia juga merupakan satu-satunya kompleks di Asia yang mempunyai elemen seni bina yang skateable selain mengandungi tiga kombinasi lengkokan bowl yang dikenali hips, spine dan street spine.

“Melihat kepada trend kini, ibu bapa lebih terbuka untuk menerima sukan ini dan pada hujung minggu, lokasi tersebut sentiasa dipenuhi keluarga yang datang beriadah bersama anak.

“Kalau di sebelah pagi, kebanyakan yang datang membawa anak kecil bermain papan luncur manakala di sebelah petang kebiasaannya golongan remaja akan memenuhi kawasan ini,” ujarnya.

Kongsinya, dalam dunia papan luncur, mereka mempunyai budaya saling menghormati ketika bermain dan dalam masa yang sama ia dapat mengelakkan sebarang kemalangan tidak diingini.

“Sebagai contoh, jika ada seorang peluncur yang sedang bermain, mereka akan biarkan individu tersebut habis satu line barulah pemain seterusnya akan meluncur,” ujarnya kepada Wilayahku.

Tambah Bazly, selain Kompleks Sukan Luncur, TCP juga menyediakan denai basikal lasak yang dibina di puncak dan lereng bukit Taman Cabaran di kawasan hutan kebun getah dan kelapa sawit.

“Panjang keseluruhan denai adalah 9.1 kilometer dan mempunyai pelbagai jenis dan peringkat halangan seperti Core Trail Loop, XC Loop, Downhill, Downhill Fun Ride, Free Cross dan Slope Style Line.

“Untuk Thrill Park, laman ini dibina berdekatan dengan gelanggang sukan luncur. Ia adalah pusat latihan basikal Dirt Jump yang sistematik di Asia bagi penggemar Mountain Bike dan BMX Dirt Jump.

“Antara cabaran yang disediakan termasuk Pump Track, Dirt Jump With North Shore Element dan Slope Style Jump,” jelasnya yang mengharapkan elemen halangan di Kompleks Sukan Luncur dinaik taraf mengikut spesifikasi Olimpik bagi memberi pengalaman kepada peluncur tempatan sebelum menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa. – WILAYAHKU

INFO:
Jalan P5, Presint 5, 62200 Putrajaya
Ahad hingga Khamis (10 pagi hingga 10 malam), Jumaat hingga Sabtu (10 pagi hingga 12 tengah malam)
03-8887 7789

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas