Berita

KKM arah iklan pil gugur janin diturunkan

UBAT atas talian yang tidak sah.
- Diterbit 27 Disember 2019 7:39 AM MYT

“SEBANYAK 24 serbuan yang menyasarkan produk ini telah dilaksanakan dari 2016 hingga 2019 dan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM95,233.

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) telah mengarahkan pengendali platform e-dagang yang berpusat di Malaysia menurunkan iklan-iklan berkenaan pil gugur janin iaitu Misoprostol dan Mifepristone.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan tersebut dilakukan berikutan sumber pembekalan pil gugur janin disyaki diperoleh secara haram melalui pembelian secara atas talian atau penyeludupan dari negara luar.

“Penghantaran pil gugur tersebut kepada pembeli adalah menggunakan perkhidmatan pos dan kurier. KKM juga akan bekerjasama dengan syarikat perkhidmatan pos dan kurier dalam usaha untuk menyekat pembelian pil gugur secara dalam talian atau penyeludupan dari luar negara.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati sewaktu membeli produk kesihatan yang dijual secara atas talian agar tidak mudah terpedaya dengan pengiklanan dan maklumat yang disiarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Noor Hisham, pihaknya turut berkerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), CyberSecurity dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekang kewujudan laman sesawang, media sosial serta lain-lain platform media baharu yang dikesan melanggar akta-akta yang dikuatkuasakan.

Jelas beliau, sejak 2016 hingga kini, sebanyak 302 laman sesawang telah disaring dan daripada jumlah tersebut, 98 laman sesawang dihantar kepada SKMM, Facebook, Twitter dan YouTube untuk tindakan penutupan.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, KKM menerima 51 aduan berkaitan penjualan pil gugur kandungan secara dalam talian yang disalah guna untuk aktiviti pengguguran haram dan penggunaan yang tidak dibenarkan undang-undang sepanjang 2018 hingga kini.

“Dalam pada itu, sebanyak 24 serbuan yang menyasarkan produk ini telah dilaksanakan dari 2016 hingga 2019 dan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM95,233.

“Penjualan produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

“Individu terbabit boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu, sebarang aduan berkaitan produk kesihatan dan iklan yang meragukan boleh disalurkan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seperti ini di pasaran.

Tambah beliau, orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari portal Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) iaitu www.npra.gov.my.

Penjualan pil pengguguran janin seperti Misoprostol secara dalam talian semakin memuncak yang mana pengambilan tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar boleh memberi implikasi seperti rahim terkoyak (uterine rupture), pendarahan tidak normal dan jangkitan kuman serta membawa maut sekiranya tidak dirawat.

Selain itu, pengambilan pil gugur juga boleh menyebabkan kelahiran bayi cacat sekiranya kandungan tersebut tidak berjaya digugurkan.

Misoprostol merupakan produk tidak berdaftar yang sering disalah guna tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan pengguguran janin.

Pemegang pendaftaran produk tersebut telah membatalkan pendaftaran produk itu pada November 2016 menjadikannya sebagai produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan tidak dibenarkan untuk dijual di pasaran Malaysia.

Selain Misoprostol, Mifepristone juga merupakan produk tidak berdaftar yang sering disalahgunakan untuk tujuan pengguguran janin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas