Berita

Tawaran harga belian RM850 sekaki persegi bagi tanah di Kampung Baru

TOWNHALL KG BARU
SEKITAR sesi soal jawab Khalid bersama penduduk dan waris pada sesi TownHall di Dewan Perdana Felda Kuala Lumpur.
- Diterbit 21 September 2019 7:40 AM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD, NAZWIN NAZRI dan AZLAN ZAMBRY
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Kerajaan menawarkan untuk membeli tanah di Kampung Baru pada kadar RM850 sekaki persegi bagi memberikan laluan kepada usaha pembangunan semula kawasan penempatan tradisi orang Melayu berusia 119 tahun di ibu kota itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, harga tersebut merupakan kadar tertinggi yang dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dengan mengambil kira syarat tanah adalah kekal milik orang Melayu.

Tawaran tersebut dikemukakan Khalid kepada pemilik dan waris tanah di Kampung Baru pada sesi Town Hall di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.

Beliau berkata, selain nilai harga tanah, sebarang struktur atau bangunan yang terdapat di atas tersebut turut akan dinilai sebagai pulangan kepada mereka.

“Kita ambil kira harga yang memungkinkan projek ini boleh dijual.

“Kalau beli dengan harga yang mahal kita kena jual dengan harga yang mahal sedangkan kita hendak apa yang kita kata hendak bina semuanya kekal untuk orang Melayu.

“Dengan mengambil kira ciri-ciri itu kita beli dengan harga yang mengambil kira syarat pemilikan orang Melayu dan jual kepada orang Melayu juga,” katanya kepada pemberita selepas mengendalikan sesi Town Hall tersebut.

Lebih 2,500 pemilik dan waris melibatkan 825 lot tanah di Kampung Baru hadir pada majlis tersebut.

Khalid berkata, nilai harga yang ditawarkan itu masih dapat kaji semula selepas beliau mengemukakan laporan maklum balas serta persetujuan pemilik dan waris terhadap cadangan pembangunan semula Kampung Baru itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad termasuk mungkin dibentangkan di Kabinet dalam tempoh sebulan lagi.

Katanya, kerajaan tidak boleh membeli tanah pada harga yang lebih tinggi daripada penilaian yang dilakukan JPPH bagi memastikan pembangunan yang dilaksana mampu dibeli masyarakat Melayu.

“Jika semua pemilik tanah bersetuju dan dari segi harga, Perdana Menteri kata boleh dinaikkan kepada RM900 sekaki persegi, kita harap penduduk menerimanya,” katanya.

Katanya, dalam sesi Town Hall tersebut ada yang cadang bebaskan syarat pemilikan dan buka untuk semua orang supaya dapat harga yang tinggi.

“Ini sudah lari daripada konsep asal yang ingin kita kekalkan. Saya harap semua pemilik dan waris mengambil kira perkara ini.

“Janganlah hendak jual minta harga yang mahal lepas itu bila hendak beli hendak harga yang rendah, itu tidak adil. Kita ambil jalan tengah yang adil kepada semua pihak,” tegasnya.

Dalam pada itu, Khalid memberikan jaminan tidak akan menggunakan kaedah undang-undang untuk pengambilan tanah.

“Yang tidak mahu jual, mungkin kita ganti tanah dan kita cuba cari penyelesaian,” katanya.

Khalid berkata, pihaknya menyasarkan keputusan mengenai cadangan pembangunan tersebut dapat dilaksanakan menjelang hujung tahun ini.

”Kita harap menjelang Jun 2020 surat perjanjian penjualan dan pembelian (S&P) dapat ditandatangani dan ia bergantung kepada nilai aset yang ada di atas tanah,” katanya.

Katanya, bagi tanah yang tidak diselesaikan urusan hak milik, pembayaran bagi waris akan diletakkan dalam satu tabung amanah khas yang ditubuhkan oleh pihak kerajaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas