Berita

Taring Harimau Malaya diuji Kuwait

SKUAd Harimau Malaya sentiasa fokus dalam setiap perlawanan.
- Diterbit 17 Januari 2020 1:46 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 skuad Harimau Malaya bimbingan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe diteruskan lagi apabila pasukan di ranking ke-147 dunia, Kuwait bakal menguji skuad Harimau Malaya dalam satu aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil awal Jun depan.

Perkara itu disahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam.

Beliau memaklumkan, perlawanan pemanas badan tersebut merupakan sebahagian daripada persiapan skuad kebangsaan sebelum berhadapan Thailand pada Pusingan Kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Bangkok, 9 Jun depan.

“Kami baru sahaja mendapat pengesahan daripada Kuwait yang mana mereka bersetuju untuk mengadakan aksi persahabatan menentang skuad kebangsaan pada Jun nanti.

“Saya melihat ia satu peluang terbaik kepada Cheng Hoe supaya beliau dapat menilai sendiri persediaan pemain sebelum berlepas ke Bangkok nanti,” ujarnya.

Terdahulu, juara Piala Negara Teluk 2019, Bahrain turut mengesahkan bersetuju untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada awal Mac depan.

Perlawanan persahabatan bertemu Bahrain dilihat sebagai persiapan terbaik skuad kebangsaan sebelum berhadapan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di tempat lawan pada 26 Mac 2020 sebelum berdepan Vietnam lima hari kemudian.

Sebagai rekod, kali terakhir pasukan Malaysia layak ke Piala Asia adalah pada edisi 2007 selaku tuan rumah bersama tiga negara ASEAN iaitu Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas