Berita

Baucar Riang Ria manfaat 1,516 murid Labuan

MURId -MURId bergambar kenangan bersama Amir (berdiri, tengah) selepas Majlis Penyampaian Baucar Riang Ria Kembali Ke Sekolah di Menara Perbadanan Labuan baru-baru ini.
- Diterbit 17 Januari 2020 1:42 AM MYT

LABUAN – Program Baucar Riang Ria Kembali ke sekolah ini anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) memberi manfaat kepada 1,516 orang murid-murid di seluruh Labuan pada tahun ini.

Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan (PL), Datuk Seri Amir Hussien, program itu membantu murid – murid Sekolah-sekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah-sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta Sekolah-sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas.

“Seramai 1, 516 murid sekolah di Labuan layak menerima bantuan ini dengan pecahan 150 baucar kepada parlimen Labuan, dan 50 kepada anak kakitangan PL.

“Selain itu, sebanyak 1,316 baucar diagihkan kepada 17 sekolah rendah yang diuruskan oleh Jabatan Pendidikan Labuan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penyampaian Baucar Riang Ria Kembali ke Sekolah kepada 47 murid terpilih baru-baru ini.

Ujar Amir lagi, program yang dianjurkan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) ini bertujuan meringankan beban perbelanjaan murid-murid sekolah rendah daripada keluarga B40 untuk pembukaan sesi persekolahan di awal tahun.

“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan ibu bapa untuk memulakan sesi persekolahan anak-anak mereka dan bagi memastikan pelajar terus bersemangat untuk hadir ke sekolah,” katanya.

Hadir sama Ketua Pengurus Bahagian Pendidikan YWP, Mohamad Firdaus Kamal Hashim.

Tambah Amir lagi, beliau turut merakamkan penghargaan kepada YWP atas bantuan yang diberikan kepada murid-murid di Labuan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas