Berita

BAM senarai pemain terbaik ke Piala Thomas

GoH V Shem (depan) dan Tan Wee Kiong (belakang) tidak lagi bernaung di bawah BAM.
- Diterbit 17 Januari 2020 1:48 AM MYT

KUALA LUMPUR – Berbaki empat bulan sebelum bermulanya saingan Piala Thomas di Aarhus, Denmark pada 16 hingga 24 Mei 2020, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menegaskan hanya pemain terbaik sahaja yang akan disenaraikan mewakili Malaysia ke saingan tersebut.

BAM melalui Presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria berkata, perkara ini termasuklah BAM berkemungkinan besar menyenaraikan pemain profesional dalam skuad negara bagi menghadapi kejohanan berprestij itu.

Melihat dari persaingan sihat yang ditunjukkan pemain-pemain di bawah naungan BAM dan juga pemain berstatus profesional, beliau ternyata gembira dengan perkembangan tersebut.

“BAM seharusnya menjadi tempat untuk pemain-pemain muda negara bawah 23 tahun mencapai impian mereka dengan latihan keras manakala pemain senior boleh bermain di luar yang mana mereka tetap boleh mengejar impian mereka dengan kebebasan yang dimahukan.

“Namun jika semua layak, mereka akan diletakkan di bawah satu bumbung dan menjalani latihan bersama bagi membawa nama Malaysia. Apa pun saya serah kepada Choong Hann selaku Pengarah Kejurulatih BAM untuk membuat keputusan berkaitan perkara ini,” ujarnya.

Antara pemain profesional yang tidak lagi bernaung di bawah BAM adalah beregu campuran yang merupakan pemenang pingat perak di Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, beregu Goh V ShemTan Wee Kiong dan juga beregu Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang baru sahaja digugurkan dari BAM.

Sebagai rekod, Malaysia pernah muncul juara Piala Thomas sebanyak lima kali pada tahun 1949, 1952, 1955, 1967 dan kali terakhir pada tahun 1992.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas