Berita

Tapak pertama bendera Malaysia berkibar

PAPAN tanda peringatan diletakkan di bawah tiang bendera sebagai tanda memperingati sejarah
TIANG bendera Malaysia yang dikibarkan buat pertama kali selepas bendera Union Jack diturunkan tepat pukul 12.01 pagi, 31 Ogos 1957 terletak berhadapan bangunan Sultan Abdul Samad.
- Diterbit 23 Ogos 2019 5:12 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR, ibu negara Malaysia yang sedang pesat membangun ini bukan sahaja penuh dengan bangunan bersejarah yang cantik dan unik malah turut menyimpan seribu satu rahsia.

Lokasi di Dataran Merdeka misalnya menempatkan pelbagai tinggalan sejarah yang istimewa termasuk bangunan-bangunan bersejarah di samping sebuah taman padang yang luas dan cantik.

Bekas tapak sebuah stadium yang dahulunya dikenali sebagai Stadium Merdeka, lokasi bersejarah itu merupakan tapak perhimpunan masyarakat dahulu melaungkan kemerdekaan dan meraikan kebebasan.

Di situ jugalah bendera Malaysia dikibarkan buat pertama kali selepas bendera Union Jack diturunkan tepat pukul 12.01 pagi, 31 Ogos 1957. Pengibaran itu sekali gus menandakan bahawa Tanah Melayu telah merdeka dan bebas daripada mana-mana ancaman kuasa besar termasuk British.

Apabila melewati kawasan ini, pastinya semangat patriotik kembali berkobar-kobar. Kisah-kisah perjuangan prajurit dahulu bermain di fikiran.

Laungan ‘MERDEKA’ oleh Tunku Abdul Rahman Putra yang merupakan Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada masa itu seolah-olah kedengaran.

Walaupun hanya sekadar bendera, ia menyembunyikan pelbagai rahsia tentang tanah air. Bendera Persekutuan Tanah Melayu atau bendera Malaya dan kini dijenamakan sebagai Jalur Gemilang, mempunyai empat warna. Setiap tona itu melambangkan semangat perpaduan, keutuhan serta kedaulatan raja dan bangsa.


Lokasi pengibaran pertama bendera Malaysia itu juga terletak berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad yang juga mercu tanda Kuala Lumpur berikutan bangunan tersebut dahulunya merupakan ibu pejabat pentadbiran negeri yang dirasmikan Residen Jeneral negeri Selangor, Sir Frank Swettenham.

Momen yang terselit dalam lipatan sejarah di situ menjadikan ia sentiasa menjadi destinasi tumpuan pelancong, baik dari dalam mahu pun luar negara.

Ekoran itu, bagi memastikan tapak lokasi pertama bendera dikibarkan terus diingati setiap generasi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif untuk menambah baik kawasan berkenaan.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, DBKL akan menaik taraf monumen bersejarah tersebut sebelum sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.

Ujar beliau, inisiatif itu diambil berikutan ramai yang tidak mengetahui kewujudan monumen berkenaan yang terletak di Dataran Merdeka.

“Insyallah DBKL akan membersih dan mencantikkan lokasi tersebut sebelum 31 ogos ini. Ramai yang tidak tahu lokasi itu.

“Kita akan tambah baik materialnya supaya ia sesuai dengan nilai sejarah selain bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan generasi terdahulu yang bersusah payah memerdekakan Tanah Melayu,” katanya kepada WK2 baru-baru ini.

Menurut Nor Hisham, penambahbaikan tersebut akan dilakukan mengikut konsep SPICE iaitu smart, precise, impact dan cost effective.

Dalam pada itu, pihak DBKL turut membina batu penanda 0 KM di Dataran Merdeka berhadapan dengan Bangunan Sultan Abdul Samad, Jalan Raja, Kuala Lumpur.

Langkah itu dilakukan selepas mendapati letak duduknya batu penanda adalah bertepatan dan bersesuaian sekali gus menjadikannya sebagai penanda bermulanya kiraan jarak perjalanan dari pusat bandar Kuala Lumpur ke mana-mana destinasi.

Penanda ini adalah untuk menetapkan pengiraan dari jarak permulaan ke suatu destinasi dengan lebih tepat dan nyata malah ia juga merupakan simbolik kepada mereka yang telah datang berkunjung dan melancong ke Kuala Lumpur.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas