Berita

Tawaran beli tanah perlu ikut harga pasaran

KHALID (tengah) beramah mesra dengan penduduk Kampung Baru selepas majlis pra pelancaran Town Hall bersama pemilik tanah baru-baru inii.
KHALID (tengah) beramah mesra dengan penduduk Kampung Baru selepas majlis pra pelancaran Town Hall bersama pemilik tanah baru-baru inii.
- Diterbit 23 Ogos 2019 5:14 AM MYT

KUALA LUMPUR – Rata-rata waris pemilik tanah di Kampung Baru di sini menyifatkan bahawa sudah tiba masanya penduduk di mengorak langkah bersama pihak kerajaan untuk membangunkan semula kawasan kampung tradisi tersebut.

Malah bagi mereka, langkah pihak kerajaan memberi­kan penerangan secara jelas berkaitan rancangan projek pembangunan tersebut membolehkan pemilik dan waris berasa yakin.

Menurut Roslan Saidi, 62 yang merupakan generasi kedua penduduk kampung tersebut menyatakan, sudah sampai masanya penduduk bersama pihak kerajaan membangunkan semula kampung itu dan seterusnya meningkatkan taraf kehidupan orang Melayu di bandar raya ini.

“Sebelum ini kita banyak mendengar tohmahan liar daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Namun penerangan yang diberikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samat amat menepati apa yang diperlukan oleh pihak waris. Malah jaminan daripada menteri bahawa rancangan kerajaan tidak akan menghalau orang Melayu amat diperlukan kerana terlalu banyak tohmahan liar ditimbulkan sebelum ini,”katanya.

Kata Roslan, seluruh keluarganya dan majoriti waris pemilik tanah menyambut baik hasrat kerajaan untuk meneruskan usaha pembangunan semula.


Namun katanya, harga yang ditawarkan oleh pihak kerajaan bagi membeli tanah penduduk haruslah berpadanan dengan nilai semasa di kawasan ini.

Sementara itu, Amir Al Zahari Mohamad, 62, yang merupakan generasi ketiga berkata, generasi pewaris tanah di Kampung Baru adalah orang yang mempunyai pendidikan yang tinggi dan mereka boleh membuat penilaian terhadap sebarang rancangan kerajaan.

Jelasnya Amir Al-Zahari lagi, walaupun kebanyakan waris asal Kampung Baru menetap di luar kawasan tersebut, mereka pasti akan kembali ke sini sekiranya pembangunan berkenaan menjadi kenyataan.

“Sudah pasti kawasan ini akan berwajah baharu dengan sistem jalan raya moden dan dinaik taraf dan seterusnya menunjukkan kemodenan orang Melayu di kawasan ini. Menteri juga memberikan jaminan untuk mengekalkan ciri-ciri tradisional di kawasan ini apabila projek berkenaan dilaksanakan nanti,” katanya.

Johari Abdullah, 73, pula amat berharap agar identiti Kampung Baru sebagai penempatan orang Melayu di tengah bandar raya tidak lenyap walaupun dibangunkan.

“Identiti Melayu tidak wajar dikorbankan kerana sejarah Kampung Baru amat sinonim dengan orang Melayu. Saya berharap apabila dibangunkan kelak, ia akan menjadi mercu tanda baharu dan menggalakkan industri pelancongan pada masa hadapan,’’ katanya yang juga waris generasi ketiga di kampung itu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas