Berita

Tapak niaga bercirikan hipster lebih terbuka – Shahidan

TAPAK Urban Street Dining, Taman Melati menempatkan usahawan jenis kios yang diusahakan secara bersama Pertubuhan Usahawan Food Truck Park Kuala Lumpur dan Selangor dengan sokongan DBKL.
- Diterbit 1 Oktober 2021 4:45 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mewujudkan beberapa lokasi strategik tambahan yang akan dimanfaatkan dalam program Usahawan Anak Muda Kota (UAMK).

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pihaknya akan mewujudkan perancangan jangka panjang bagi menzahirkan pelbagai program berbentuk pembangunan usahawan untuk membantu dan menaik taraf kehidupan rakyat serta meringankan kos sara hidup warganya.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyusun pelbagai strategi dan perancangan bagi mewujudkan landskap usahawan yang berdaya saing bagi memajukan industri keusahawanan di sekitar Kuala Lumpur.

“Inisiatif DBKL ini termasuk menyediakan tapak niaga kepada golongan muda dengan bercirikan trend semasa,” katanya ketika melawat Tapak Urban Street di Taman Melati pada Isnin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan dan Sosio Ekonomi KWP, Datuk Parang Abai @ Thomas dan Penasihat Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Parlimen Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Shafei Abdullah.

Jelas Shahidan, program yang dimulakan pada tahun 2020 lalu telah melahirkan usahawan belia merangkumi pelbagai bentuk perniagaan seperti francais, kios, car boot sales dan food truck. “Konsep perniagaan yang diperkenalkan ini lebih mudah dan tidak menggunakan ruang yang besar.

“Sehingga kini, sebanyak 181 tapak telah diisi usahawan dan 90 daripadanya telah memulakan operasi di Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya, sebagai menyokong inisiatif tersebut, pihak DBKL telah menyediakan lokaliti khusus bagi membolehkan usahawan muda kota menjalankan perniagaan dengan lebih kemas dan teratur.

“DBKL turut mewujudkan beberapa lokasi strategik bagi usahawan di sekitar Kuala Lumpur bagi membolehkan mereka mempunyai lokaliti yang sesuai dan sistematik,” katanya.

KANOPI HIPSTER DI TAPAK URBAN STREET DINING, TAMAN MELATI

Shahidan berkata, antara lokasi yang dipilih adalah di Tapak Urban Street Dining, Taman Melati yang menempatkan usahawan jenis kios yang diusahakan secara bersama Pertubuhan Usahawan Food Truck Park Kuala Lumpur dan Selangor dengan sokongan DBKL.

“Ruang niaga yang disediakan adalah berkonsepkan outdoor food court, menggunakan kanopi dan bercirikan persekitaran hipster. Di lokasi ini, sejumlah 17 tapak telah tersedia untuk usahawan.

“Usahawan yang beroperasi di lokasi ini terdiri daripada golongan belia dan program berkenaan dilihat dapat membantu mereka untuk menambahkan pendapatan memandangkan kebanyakannya terjejas punca pendapatan ekoran pandemik COVID-19,” katanya.

Program UAMK tersebut akan melibatkan kira-kira 1,122 kios di 169 lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Reka bentuk yang dicadangkan juga akan kelihatan lebih moden, teratur, kemas dan bersih sesuai dengan imejnya sebagai bandar yang menjadi tumpuan orang ramai. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas