Berita

Masyarakat tidak seharusnya beri persepsi buruk terhadap bekas pesakit COVID-19

JALALUDDIN menyerahkan sumbangan kepada penerima pada Program Sepakat@Komuniti anjuran Jabatan Penerangan Daerah Kepong dan Batu di Kampung Melayu Kepong pada Ahad.
- Diterbit 1 Oktober 2021 6:30 AM MYT

TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menasihatkan orang ramai untuk tidak memberi persepsi buruk terhadap mana-mana individu yang telah dijangkiti COVID-19.

Sebaliknya, beliau berkata orang ramai untuk memberikan sokongan terhadap semua mangsa yang dijangkiti sebagai tanda kesepaduan dalam komuniti.

“Saya sampaikan mesej kepada masyarakat di sini bahawa COVID-19 merupakan penyakit yang bahaya dan tidak boleh ambil ringan.

“Walaupun kita sentiasa memberikan sokongan dan kepada individu yang pernah dijangkiti, ini juga merupakan kesepaduan dalam kelompok komuniti masyarakat yang kita tidak mengasingkan individu yang telah dijangkiti wabak tersebut,” katanya kepada pemberita selepas program Sepakat@Komuniti anjuran Jabatan Penerangan Daerah Kepong dan Batu di Kampung Melayu Kepong pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Lim Ann Teck dan Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Melayu Kepong, Datuk Md Nor Hashim.

Jelas beliau, melalui semangat Keluarga Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semua masyarakat perlu mengambil berat antara satu sama lain terutama dalam keadaan pandemik yang masih belum berakhir.

“Inilah waktu yang penting untuk kita semua dalam menjayakan hasrat tersebut dan kita perlu saling bekerjasama untuk keluar dari keadaan hari ini,” katanya.

Menurut Jalaluddin, meskipun kawasan Putrajaya dan Kuala Lumpur berada dalam Fasa 2, Program Pemulihan Negara (PPN) dan Labuan yang sudah memasuki Fasa 4, semua pihak harus berwaspada dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Semua orang mesti menjaga segala bentuk Prosedur Operasi Standard (SOP) dari segala tiundakan yang boleh menjadi sumber dan punca penularan wabak tersebut yang lebih teruk,” katanya.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 20 penduduk yang dijangkiti dengan wabak COVID-19 serta empat buah rumah yang ditimpa bencana ribut baru-baru ini yang disumbangkan oleh Jabatan Penerangan.

Jalaluddin turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Penduduk Kampung Melayu Kepong dan Surau Al-Hidayah bagi kegunaan komuniti setempat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas