Berita

Pusat interakif SDGs beri pendedahan

SHAHIDAN (tengah) bersama Jalaluddin (kanan) diiringi Mahadi ketika melihat pameran berkenaan bandar mampan selepas melancarkan SDG Center Kuala Lumpur di Jalan Raja.
- Diterbit 1 Oktober 2021 4:29 AM MYT

MATLAMAT Pembangunan Mampan atau Sustainable Developement Goals (SDGs) yang digariskan United Nations Human Settlement Programme (UNHabitat) telah merintis kepada perubahan setiap bandaraya di dunia bagi memastikan perancangan pembangunan yang mampan dilaksanakan demi kemakmuran bersama.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pembukaan Kuala Lumpur SDG Centre merupakan yang pertama diwujudkan di Malaysia dan Asia-Pasifik bertujuan untuk memperkasakan Kuala Lumpur sebagai ibu negara bagi Malaysia dalam usaha menjalin perkongsian dan kolaborasi di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Kuala Lumpur SDG Centre akan berfungsi untuk memberi pendedahan umum dan meningkatkan keupayaan warga kota termasuklah pihak berkepentingan mengenai SDGs.

“Antara lain ia menghubungkan isu berkaitan perubahan iklim, daya tahan bandar, aspek keselamatan, pembangunan bandar mampan serta komuniti sejahtera.

“Selain itu, ia juga dapat mencari penyelesaian secara inklusif dan efektif yang mampu membawa perubahan kehidupan lebih baik dan berkualiti kepada warga kota,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan SDG Centre Kuala Lumpur di Jalan Raja pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Che Roslan Che Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif Urbanice Malaysia, TPr Norliza Hashim.

Menurut Shahidan, berdasarkan pemerhatiannya, pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap SDGs masih rendah dan ia membataskan penglibatan inklusif dan peranan dalam perkara tersebut.

“Dengan penubuhan platform ini, DBKL memberi peluang kepada semua warga kota dan pihak berkepentingan melalui penglibatan bersama bagi menyampaikan maklumat secara terus berhubung inisiatif pelaksanaan SDGs menjelang tahun 2030.

“Platform SDG Centre ini juga akan dapat membantu Kuala Lumpur untuk terus berada di mata dunia dan sekali gus membawa nama baik Malaysia,” katanya.

Tambahnya, melihat dengan kesungguhan dan komitmen DBKL berkaitan SDGs ini, ia dapat membantu Kuala Lumpur untuk mencapai Agenda Mampan 2030 sekali gus menjadikan bandaraya ini sebaris dengan negara-negara maju lain yang berusaha menjadikan kehidupan hari ini dan akan datang menjadi lebih baik serta sejahtera,” katanya.

Kata Shahidan lagi, melalui penubuhan pusat itu, Kuala Lumpur dapat memastikan semua komitmen dan inisiatif 17 SDG dapat memberi impak yang lebih besar kepada bandaraya ini.

“Ia antara lain dapat menarik pelabur dan jalinan kerjasama dari dalam dan luar negara supaya ekonomi mampan (sustainable economy) dapat memberi manafaat kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Tambahnya, penubuhan pusat itu juga akan mendapat pengiktirafan UNHabitat sepertimana penganjuran World Urban Forum ke-9 (WUF9) pada 2018 lalu.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, DBKL turut berperanan aktif dan telah banyak menjalankan inisiatif SDGs untuk kepentingan Kuala Lumpur.

“Ia melibatkan SDG6 iaitu berkenaan ‘ensure availability and sustainable management of water and sanitation’ termasuklah projek ‘River of Life’, Pantai 2 Sewage Treatment Plant, program-program ‘outreach’ bersama komuniti, NGO,pelajar sekolah dan agensi kerajaan melibatkan aktiviti pembersihan sungai, bengkel dan perkongsian teknologi.

“Selain itu SDG11, berkaitan ‘human settlements, inclusive, safe, resilient and sustainable’ projek perumahan awam seperti Residensi Wilayah dan Projek berkaitan ‘sustainable micromobility’ juga seperti pengenalan kenderaan elektrik, aktiviti berbasikal dan sebagainya mampu mengurangkan pencemaran udara.

“SDG12 juga merupakan antara pencapaian terbaik Kuala Lumpur berkaitan ‘Sustainable Consumption and Production Pattern’. Projek seperti 1 community, 1 Recycling (1C1R) merupakan satu kejayaan bersama komuniti bandar melalui ‘barter programme’ terutamanya penduduk di perumahan awam golongan B40 supaya dapat menggalakan mereka melakukan recycle dan dapat menukarkan kepada barangan keperluan asas seperti gula, tepung, minyak masak dan sebagainya yang turut melibatkan Syarikat Alam Flora,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas