Berita

Tangguh sesi pendengaran kedua

LELE Suzana mahukan kadar pampasan untuk pemilik tanah setimpal dan mengikut harga nilaian semasa. LELE Suzana mahukan kadar pampasan untuk pemilik tanah setimpal dan mengikut harga nilaian semasa.
- Diterbit 14 Januari 2022 5:00 AM MYT

JAWATANKUASA Bertindak Pemilik Rumah Teres Kampung Sungai Baru, Kampung Baru menuntut sesi pendengaran kedua Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru yang dijadualkan pada 19 sehingga 31 Januari ini oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) Kuala Lumpur, ditangguhkan.

Pengerusinya, Lele Suzana Kudari berkata, pihaknya terkejut apabila mengetahui sesi pendengaran itu tetap akan diteruskan meskipun Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berjanji untuk menangguhkan sesi tersebut bagi memberi laluan untuk berunding dengan kedua-dua belah pihak.

Jelasnya, tindakan itu selari dengan janji yang dibuat Shahidan ketika pertemuan bersama Jawatankuasa Bertindak pada 6 Disember 2021 yang lalu di pejabat menteri di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan janji yang sama telah dibuat oleh menteri tersebut pada sesi Kamar Khas Parlimen pada 13 Disember lalu.

“Janji Menteri Wilayah bahawa pembangunan semula Kampung Sungai Baru hanya boleh berlaku setelah pemilik dan pemaju bersetuju dengan kadar semasa dan berdasarkan situasi menang-menang kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi pertemuan tertutup dengan 37 pemilik rumah teres Kampung Sungai Baru di Kampung Baru pada Sabtu.

Menurut Lele Suzana, kadar pampasan untuk pemilik tanah mestilah setimpal dan mengikut harga nilaian semasa kerana mereka mempunyai geran dan bukanlah penduduk setinggan.

“Jurunilai swasta yang dilantik telah menilai tanah Kampung Sungai Baru tidak kurang dari RM1,500 per kaki persegi dan tidak termasuk nilaian bangunan di atas tapak tanah,” katanya.

Beliau turut membandingkan beberapa situasi pengambilan tanah tersebut yang didakwanya lebih tinggi dengan nilai yang ditawarkan kepada penduduk di kawasan itu.

“Prasarana telah mengambil beberapa lot tanah di kawasan Kampung Baru bagi pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) dan telah membayar pampasan lebih kurang RM1,250 per kaki persegi yang bertujuan untuk kegunaan awam.

“Transit Aliran Ringan (LRT) juga telah mengambil dua plot tanah di Kampung Sungai Baru dan membayar pemilik teres dengan nilaian lebih kurang RM500 per kaki persegi pada akhir tahun 80-an,” katanya.

Lele Suzana turut mempertikaikan keupayaan syarikat pemaju Ritzy Gloss Sdn Bhd sebagai sebuah syarikat yang didakwa tidak mempunyai rekod di dalam pembangunan hartanah dan tidak mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusinya, Saiful Azhar Ibrahim mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Wilayah Persekutuan untuk campur tangan dalam menyelesaikan isu tersebut memandang kedua-dua pemimpin itu mempunyai kuasa untuk menghentikan kemelut tersebut. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas