Berita

Mangsa kebakaran rumah panjang Bukit Kiara terima bantuan YWP

TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias meninjau kebakaran di rumah panjang Taman Tun Dr Ismail, Bukit Kiara pada Isnin.
- Diterbit 14 Januari 2022 4:48 AM MYT

PRIHATIN dengan nasib mangsa kebakaran di rumah panjang Bukit Kiara Kuala Lumpur, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) tampil menyalurkan sumbangan wang tunai kepada pada Isnin lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, selain daripada sumbangan tersebut, pihaknya turut menyalurkan beberapa bantuan lain antaranya barangan keperluan harian termasuk barang dapur.

KETUA Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun menyantuni mangsa kebakaran di rumah panjang Taman Tun Dr Ismail, Bukit Kiara pada Isnin.

“Saya telah turun padang meninjau keadaan di sana seawal pagi hari kejadian dan berkesempatan menyerahkan sumbangan wang tunai bernilai RM3,000 kepada enam buah rumah yang terjejas.

“Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias juga hadir sama melihat keadaan mangsa terlibat,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Selain itu, katanya, YWP turut menyerahkan bakul makanan, toto, bantal dan kelengkapan lain buat mangsa yang kini menumpang di rumah jiran berhampiran.

Mengulas lanjut, ujar beliau, pihaknya dengan kerjasama kontraktor terlibat akan menilai bantuan tambahan yang boleh disalurkan kepada mangsa termasuk membina semula tempat tinggal yang baharu.

“Kita sedia beri bantuan sepenuhnya. Sekurang-kurangnya membina tempat tinggal baharu yang lebih selesa untuk mereka.

Insya-Allah pada minggu hadapan, YWP akan gerakkan tim untuk bersihkan kawasan tersebut dan baiki rumah yang terjejas,” tambahnya yang sentiasa komited dalam memastikan warga Wilayah Persekutuan mendapat bantuan dan perkhidmatan terbaik.

PEMBANGUNAN SEMULA BULAN INI

DALAM pada itu, Zaizalnizam memaklumkan, YWP akan memberikan rumah mampu milik kepada penduduk di rumah panjang sebagai inisiatif untuk membantu mangsa yang terjejas.

“Tanah tersebut akan memberikan manfaat kepada mereka yang mana kesemuanya akan menerima rumah mampu milik di kawasan tersebut.

“Penduduk rumah panjang akan menerima rumah secara percuma untuk generasi pertama, manakala generasi kedua pula akan mendapat rumah dengan harga RM175,000 iaitu diskaun sebanyak 50 peratus daripada harga rumah.

“Hal ini kerana mereka telah lama bertapak di situ iaitu selama 39 tahun. Pembinaan yang dibuat secara ‘in-situ’ adalah paling sesuai untuk mereka,” ujar beliau.

Dalam masa sama, Zaizalnizam memberitahu, pihaknya sedang menunggu keputusan mahkamah untuk membenarkan pembinaan pembangunan semula di tapak kawasan tersebut dijalankan pada bulan ini.

“Saya berharap kita mendapat kebenaran untuk meneruskan pelaksanaan perintah yang telah kita dapat kelulusan daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini,” ujarnya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas