Berita

Kerja pembinaan kios penjaja di Desa Sri Hartamas dihentikan sementara

TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mendengar penerangan daripada Nor Miswary ketika tinjauan di Desa Sri Hartamas, hari ini.
- Diterbit 14 Januari 2022 5:40 AM MYT

KERJA-KERJA pembinaan kios penjaja di Desa Sri Hartamas akan dihentikan sementara ekoran beberapa bantahan yang dikemukakan wakil penduduk dan persatuan perniagaan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, arahan pemberhentian sementara itu dibuat bagi membolehkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat penilaian semula mengenai pembinaan kiosk di kawasan ini.

“Berdasarkan kepada isu terbaharu serta bantahan yang dikemukakan oleh masyarakat setempat, saya akan lihat dan bincang semula dengan pegawai DBKL dan oleh kerana ia telah diputuskan, saya akan bawa semula ke dalam mesyuarat jawatankuasa untuk kita lihat mengenai kewajaran untuk meneruskan projek ini atau ia dihentikan,” katanya kepada Wilayahku selepas melawat tapak pembinaan di Sri Hartamas di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengurusan Projek DBKL, Noorzaini dan Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan, Mohd Muzammer Jamaluddin dan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Segambut, Nor Miswary Ramli.

Menurut Jalaluddin, masalah kesesakan lalu lintas dan lokasi pembinaan di atas kawasan hijau merupakan alasan bantahan yang dikemukakan oleh persatuan penduduk.

“Oleh kerana lokasinya terletak di kawasan hijau yang berbaki lagi di kawasan ini dan kawasan ini kekurangan kawasan parkir maka kita akan kaji dan meneliti semua aspek sama ada projek ini wajar di teruskan atau dihentikan.

“Mesyuarat mengenai perkara ini akan disegerakan dan buat masa ini, saya telah minta pihak DBKL terutamanya Bahagian Pengurusan Projek untuk menghentikan dahulu pembinaan kios ini.

“Saya akan memanggil pegawai DBKL segera untuk kita lihat oleh kerana Menteri Wilayah Persekutuan masih lagi bercuti, jadi saya akan selesaikan dalam masa terdekat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas