Berita

Tangguh bayaran SPWP bernilai 10.89 juta

MORATORIUM selama enam bulan bermula Julai. PENANGGUHAN pembayaran pinjaman perumahan oleh Yayasan Wilayah
- Diterbit 11 Jun 2021 10:11 AM MYT

BERIKUTAN pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 1 hingga 14 Jun 2021, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bersetuju menangguhkan bayaran balik skim pembiayaan pembelian rumah (SPWP) selama enam bulan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun, penangguhan bayaran balik bermula Julai 2021 hingga Disember 2021 tersebut adalah bagi meringankan beban peserta yang terlibat di bawah pinjaman melalui anak syarikat YWP, Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan.

“Kita bersetuju untuk memberi penangguhan bayaran balik yang mana ini sahaja melibatkan kos sebanyak RM10.89 juta. Mereka akan mula membayar seperti biasa setelah habis tempoh moratorium yang diberi,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Tambah beliau lagi, selain daripada SPWP, peserta Skim Mikro Kredit Wilayah Persekutuan (SMKWP) juga turut diberi penangguhan bayaran balik selama enam bulan bermula Julai 2021.

“Namun kita masih ada baki lagi untuk membantu peniaga-peniaga kecil yang terjejas untuk digunakan oleh mereka bagi menambah modal serta yang tidak mempunyai peralatan untuk berniaga,” ujarnya.

Terdahulu, Skim Mikro Kredit Wilayah Persekutuan (SMKWP) bermula 1 Mac 2020 bertujuan membantu usahawan kecil daripada golongan berpendapatan rendah (B40) untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Selain daripada penangguhan bayaran balik, Zaizalnizam berkata, YWP juga mengorak langkah dengan menyediakan platform dan akses kelas digital SPM Mahir tutor yang memberi manfaat kepada 20,000 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Kelas tersebut merangkumi 10 subjek teras atau wajib lulus SPM yang boleh mula diakses pada 1 Jun lalu melibatkan kos sebanyak RM200,000.

“Kita amat berharap agar calon SPM di Wilayah Persekutuan dapat memanfaatkan platform ini dengan sebaiknya sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan besar itu tidak berapa lama lagi,” ujar beliau.

Dalam pada itu, menyentuh tentang Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota pula, Zaizalnizam berkata, ia tetap diteruskan seperti biasa dan masih lagi menyediakan beberapa kiosk untuk digunakan setakat ini.

“Bagi fasa pertama kita dah siapkan 20 buah kiosk yang mana diperuntukkan sebanyak RM10,000 bagi setiap kiosk. Insya-Allah untuk seterusnya jika ada permohonan untuk meletakkan kiosk di mana mana kawasan kita akan proses seperti biasa,” kata beliau lagi. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas