Berita

Reaksi trak vaksin bergerak dan saringan bersasar

Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) antara penerima Inisiatif Wilayah Cakna 5.0. Kredit foto oleh- NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 11 Jun 2021 9:13 AM MYT
MUHAMMAD HAIRUL HELMI YAACOB, 23, Pelajar

PROJEK ini adalah satu langkah proaktif yang telah diambil oleh Menteri Wilayah Persekutuan kerana ia dapat mempercepatkan pemberian vaksin terhadap golongan B40 dan kumpulan rentan.”

 

 

 

 

SITI HAJAR MOHAMAT TAHIR, 23, Pelajar

BAGI saya, pelaksanaan pemberian suntikan percuma dan trak vaksin bergerak kepada penduduk PPR dan PA ini merupakan inisiatif yang sangat baik dan berguna ekoran keadaan kes semasa COVID-19 yang meningkat saban hari. Keadaan di sekitar kawasan PPR Seri Semarak ini agak sempit dan kebarangkalian untuk penduduk dijangkiti COVID-19 amat mudah. Melalui projek ini, ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan jangkitan dan pergerakan terutamanya warga emas dan golongan B40 berisiko tinggi.”

 

NOOR SUHAILA ARBAE, 23, Pelajar

PADA saya, tindakan yang diambil oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa melalui projek rintis amat digalakkan kerana memudahkan urusan penduduk menerima vaksin, mampu mengurangkan jangkitan, membantu golongan kurang berkemampuan serta mengalakkan individu yang tidak mahu diberikan suntikan vaksin dengan mengambilnya tanpa perlu bergerak keluar daripada kawasan mereka.”

 

 

NORZIZAH MAT ISA, 36, Peniaga online

SAYA mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan turut berbesar hati sekiranya kami warga PPR Seri Alam Fasa 2 dapat menerima vaksin percuma tersebut.”

 

 

 

 

MD FAZALI MD SOM, 40, Peniaga

SAYA berharap agar projek vaksinasi ini dapat dilakukan segera di beberapa kawasan perumahan PPR atau PA yang lain kerana jika terpilih di dalam inisiatif ini, saya sebagai penduduk amat gembira dan berterima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan kerana mengambil langkah proaktif untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dengan menyediakan trak vaksin dan saringan bersasar kepada penduduk yang memerlukan dengan memberikan keutamaan kepada warga emas.

 

NUR ATIFAH ABDUL HALID, 24, Pelajar

PERKARA ini adalah satu inisiatif yang sangat baik bukan sahaja menguntungkan rakyat tetapi memudahkan petugas barisan hadapan. Ia juga merupakan langkah terbaik untuk membantu rakyat yang mempunyai masalah kewangan dan pergerakan untuk ke tempat vaksinasi terutamanya warga emas yang tinggal bersendirian.”

 

 

MOHD NOOR MD TAHIR, 60, Pengerusi Persatuan Penduduk PA Desa Rejang

SAYA menyokong inisiatif ini kerana ia dapat mengurangkan pergerakan penduduk untuk bergerak jauh ke tempat tertentu. Ramai yang sedang menantikan suntikan vaksin termasuklah warga emas tetapi jika kita hanya menunggu di aplikasi MySejahtera sahaja ia menyukarkan kita kerana terpaksa menunggu.”

 

 

 

 

MASAZURAWANI MOHAMAD, 39 , Suri rumah

“SEBAGAI penerima vaksin melalui program ini saya rasa sangat teruja dan gembira kerana tidak perlu lagi pergi jauh ke PPV untuk mendapatkan vaksin, secara tidak langsung dapat melindungi golongan yang berisiko seperti kanak-kanak daripada dijangkiti.”

 

 

 

 

ABDUL RAHIM SAZALI, 30, 
Eksekutif pemasaran

SAYA sangat bersetuju dengan program vaksinasi bergerak ini dibuat di kawasan PPR kerana kawasan ini kebiasaannya ramai warga emas yang tidak tahu menggunakan gajet dan hanya mengharapkan anak-anak untuk memohon vaksin. Tambahan pula warga emas terhad pergerakkannya kerana tidak mempunyai pengangkutan ke pusat vaksin. Jika program sebegini dapat diperluaskan, kita dapat mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera.”

 

 

NORAZLING MD SOM, 35,  Suri rumah

SEPERTI kita sedia maklum kawasan PPR merupakan kawasan padat dengan penduduk yang boleh menyebabkan penularan wabak berlaku dengan cepat. Oleh itu, saya sangat teruja jika program ini akan dilaksanakan secara berjadual seperti yang diumumkan baru-baru ini dengan memberi fokus kepada golongan berisiko seperti saya yang mempunyai penyakit darah tinggi.”

 

 

MOHD ZAMRI ZAINAL ABIDIN, 36, Pengawal peribadi

Saya yakin ia boleh mengekang penularan wabak COVID-19 ketika ini dan membantu mempercepatkan vaksin kepada semua penduduk khasnya warga emas. Sebelum ini ramai warga emas yang mendapat tarikh vaksin tetapi tidak dapat pergi ke PPV kerana mempunyai masalah pengangkutan, apabila program sebegini diperkenalkan saya berasa lega serta menyokong sepenuhnya jika ia diperluaskan ke semua PPR termasuk kawasan saya.”

 

 

 

RAZAHLI AMAN, 49, Pemandu peribadi

SUDAH semestinya program yang baik, efisien serta efektif ini perlu diperluaskan ke peringkat yang lebih jauh dan luas agar musibah yang melanda dapat dihentikan secara total dengan lebih cepat. Sebagai individu yang menerima vaksin melalui program ini, saya akui proses vaksinasi berjalan dengan lancar mengikut SOP, dibantu sukarelawan serta jentera yang sistematik. Ia satu program yang bagus dan berjaya.”

 

 

SITI AISYAH, 21, Pekerja restoran

PROGRAM seperti ini perlu diteruskan di beberapa tempat lain agar dapat mengurangkan kelompok besar dalam satu tempat untuk menerima vaksin, lagipun saya dan keluarga amat menyokong program ini kerana dapat menyenangkan pihak-pihak tertentu yang mengalami kesukaran terutama masalah kewangan.”

 

 

 

MOHAMAD ZULHILMI NAWI, 23, Pelajar

INI adalah langkah proaktif untuk merancakkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sekali gus membolehkan warga Wilayah Persekutuan mendapatkan vaksin dengan cepat. Peluang sama rata perlu diberikan kepada penduduk pendalaman seperti peneroka felda kerana golongan ini juga tidak mempunyai pendedahan serta akses pengangkutan yang baik untuk ke pusat vaksin.”-  WILAYAHKU-HAZIRAH HALIM / DIANA AMIR 

 

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas