Artikel

Ordinan darurat untuk cegah penularan virus

MAMPUKAH '3S'dikawal? - Gambar hiasan
- Diterbit 29 November 2020 12:35 PM MYT

“Sekiranya PRK diadakan, siapa mampu beri jaminan bahawa orang-orang politik dan orang awam boleh elak daripada 3S iaitu tempat sesak, tempat sempit dan tertutup, serta sembang dekat?

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah dikatakan antara penyebab berlaku gelombang ketiga serangan virus maut COVID-19 di negara kita. Ada betul, ada salahnya juga pandangan ini.

Juga tidak dapat nafikan kes induk dari pusat tahanan dan warga asing yang berjaya meloloskan diri keluar masuk ke Negeri Sabah setiap hari, mungkin menjadi penyumbang kepada peningkatan kes baharu COVID-19 di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Namun dalam masa sama, paksi demokrasi yang negara kita pegang selama berpuluh tahun tidak boleh dirosakkan dengan sesuka hati. Sekiranya ada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) atau kekosongan kerusi wakil rakyat, wajib atas kita untuk membuka peti undi dalam masa 60 hari.

Jika virus berkenaan tidak membawa mudarat mungkin boleh dipertimbangtarakan. Namun menurut data dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat 19 November 2020 telah berlaku 322 kematian akibat COVID-19. Bukankah Baginda Rasulullah SAW memerintahkan kepada kita untuk menjaga dan memelihara nyawa setiap manusia? Beranikah kita untuk melawan perintah Penghulu Segala Nabi?

Siapa yang sanggup melihat angka ini makin meningkat hari ke hari? Siapa yang mahu angka ini bertambah akibat daripada pelaksanaan proses demokrasi? Jawapannya tiada siapa yang mahu, waima calon pilihan raya atau pengarah jentera parti itu sendiri.

Atas asas rasa tidak sanggup itulah, kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meminta perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan dan memasyhurkan perintah darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi di Sabah.

Sikap keprihatinan dan sentiasa mengutamakan rakyat yang ada pada keperibadian Yang di-Pertuan Agong telah mendorong Tuanku untuk memperkenan pengisytiharan darurat di kawasan Batu Sapi dan memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2020 bagi membolehkan PRK Batu Sapi yang dijadualkan pada 5 Disember 2020 dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Sekiranya PRK diadakan, siapa mampu beri jaminan bahawa orang-orang politik dan orang awam boleh elak daripada 3S iaitu tempat sesak, tempat sempit dan tertutup, serta sembang dekat?

Hakikatnya, 3S yang menjadi perkara ‘pantang’ dalam norma baharu sekarang ini hampir mustahil untuk dielakkan jika berlaku sesuatu PRK. Akhirnya, ia menjadi ancaman kepada kesihatan awam bukan sahaja bagi penduduk Batu Sapi, malah mereka dari tempat lain yang masuk ke kawasan berkenaan tanpa kita tahu kebarangkalian mereka adalah pembawa virus maut.

Darurat ini juga terpaksa dimasyhurkan kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengaku mereka tidak mampu menyediakan petugas pilihan raya yang ideal untuk PRK kali ini. Menurut rekod SPR, mereka sekadar berjaya melantik 143 orang petugas berbanding 837 orang petugas yang diperlukan. Faktor terpenting adalah kerana para petugas berasa bimbang terhadap penularan virus ini, lalu menyebabkan mereka enggan untuk dilantik menjadi petugas pilihan raya.

Sebagai seorang Ketua Negara yang berwibawa, Yang di-Pertuan Agong telah menerima taklimat dari empat orang terpenting dalam perkhidmatan awam untuk permasalahan ini, sebelum membuat keputusan. Mereka ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah; dan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Akta 342 yang sedang kita gunakan untuk mengehadkan pergerakan orang ramai semasa penularan COVID-19 pula tidak mampu untuk memberhentikan kewajipan mengadakan PRK mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Walaupun Akta 342 juga boleh diklasifikasikan sebagai ‘darurat virus’.

Lihat bagaimana Kluster Sivagangga, Kluster Tabligh dari 20 Jemaah Tabligh pertama yang masuk ke Malaysia, pelancong China pertama yang masuk ke Malaysia ketika negaranya baru mula dijangkiti COVID-19. Ada satu kes seorang majikan pulang dari China pada awal bulan Mac 2020 telah berjangkit kepada 120 orang hingga mencipta satu kluster baharu ketika itu.

Ini semua antara puncapunca pencetus gelombang penyebaran COVID-19 di Malaysia. Semuanya ada satu persamaan iaitu berlakunya pergerakan rentas negeri/daerah.

Tiada siapa mahu nafikan hak demokrasi, dalam pada itu juga, tiada siapa mahu virus maut ini menjadi ‘teman hidup’ komuniti sekeliling kita hingga menyebabkan makin ramai yang terkorban satu demi satu.

Justeru, jika ada di kalangan kita yang masih anggap perintah darurat ini sekadar mahu menghalang budaya demokrasi disuburkan, adalah lebih baik kita menarik balik pandangan itu. Yang di-Pertuan Agong bukan bersifat jumud hingga sebegitu rupa. Tuanku seorang Raja yang amat menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang lima.

Darurat ini adalah untuk mencegah lebih ramai menjadi mangsa virus maut COVID-19, walaupun ia tindakan kurang popular buat kerajaan Malaysia yang memerintah, namun ia suatu usaha yang bertanggungjawab ke atas semua rakyat yang diperintah.

Penulis adalah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), SARFARIZMAL MD SAAD

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas