Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN
PUTRAJAYA – Tidak bertanggungjawab. Itu antara sikap yang menggambarkan diri penghuni di sekitar Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Presint 11 di sini berikutan membiarkan tumbuhan liar tumbuh di atas bumbung sehingga merosakkan struktrur rumah berkenaan.
Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati, pokok yang tumbuh setinggi hampir dua meter, akar berselirat di sebalik dinding dan bumbung manakala saluran air di di beberapa unit rumah pula dipenuhi pokok-pokok renek.
Lebih membimbangkan, keadaan itu juga dipercayai mengakibatkan berlakunya kes demam denggi di kawasan berkenaan malah terkini seorang penduduk dimasukkan ke hospital kerana virus tersebut.
Ia disebabkan, air hujan bertakung di dalam saluran di atas bumbung kerana tidak dapat mengalir dengan baik akibat dihalang akar tumbuhan liar berkenaan.
Apa yang menjelekkan apabila lokasi perumahan tersebut dihuni oleh individu-individu berstatus pegawai kerajaan yang sepatutnya mempunyai rasa tanggungjawab serta mempamerkan contoh terbaik kepada masyarakat sekeliling.
Selain itu, terdapat juga beberapa penghuni yang bertindak menyewakan rumah milik kerajaan itu kepada individu lain dan sebilangannya menukar konsep kepada inap desa bagi mendapatkan wang tambahan.
Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Jalan A1 Presint 11, Carlos Najmul Basri berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja merosakkan harta kerajaan malah membahayakan penghuninya kerana dikhuatiri berlakunya pembiakan nyamuk aedes.

“Penyewa tidak mempunyai ‘sense of belonging’ sebab kebanyakannya merupakan orang luar dan hanya datang bekerja di sini. Mereka tidak rasa Putrajaya sebagai hak mereka.
“Sebagai penyewa yang menggunakan hak kerajaan, mereka sepatutnya membuat aduan kepada Badan Pengurusan Harta (BPH) supaya tindakan dapat diambil bagi mengelakkan kerosakan serta kerugian kepada kerajaan,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.
Menurut Carlos, sekiranya kerajaan menaikkan harga atau meletakkan kos yang tinggi, golongan terbabit pastinya melenting dan mempersoalkan tindakan kerajaan sedangkan mereka tidak menyedari kerosakan yang dilakukan itu.
Justeru, Carlos berharap agar penghuni-penghuni terbabit mengambil perhatian serius dan bertanggungjawab ke atas harta kerajaan yang digunakan sekali gus menjadikan Putrajaya sebagai wilayah contoh kepada bandar lain.