Berita

Ekosistem Digital Islam bakal dilancar

MOHD. MUAZZAM (dua dari kiri) memakaikan beg sekolah dan set lengkap 'Jom Ke Sekolah' kepada pelajar yang terpilih.
- Diterbit 15 November 2019 6:10 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

PETALING JAYA – Bank Islam Bhd. akan me­lancarkan Ekosistem Digi­tal Islam dalam masa terdekat sebagai persediaan untuk menjadi peneraju dalam segmen ekonomi berasaskan digital.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, perkara itu merupakan sebuah agenda besar dan pihaknya sedang berusaha untuk menerima aliran kewangan yang lebih tinggi.

“Pelancaran itu bakal meningkatkan peranan syarikat dalam perkhid­matan kewa­ngan digital di ne­gara ini.

“Bank Islam juga berada di hadapan dan sebagai peneraju ruangan fintech digital,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas program AMAL Ihtiman – Jom Ke Sekolah di KidZania Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai lesen perbankan digi­tal, Mohd. Muazzam memberitahu, pihaknya masih menunggu rangka akhir dari Bank Negara sebelum perancangan diteruskan.

“Dengan keuntungan daripada fintech pada asas­nya baik untuk industri kerana masih terdapat kawasan yang belum menerima perkhidmatan tersebut.

“Kami juga merasakan penggunaan teknologi fintech harus memenuhi keperluan perkhidmatan kewangan di negara ini.

“Dari segi persediaan pula, kami telah melancarkan produk digital dalam anak syarikat, BIMB Investment,” jelasnya.

Tambah Mohd. Muazzam, pihaknya sudah mendapat manfaat daripada penggunaan teknologi fintech.

“Antara manfaat yang diperoleh khusus dalam operasi syarikat adalah robo advisor dan kecerdasan buatan (AI). Malah, perkhidmatan tersebut telah berada di pasaran sejak lima tahun lalu,” katanya.

Menurut Mohd. Muazzam, pihaknya juga telah melancarkan aplikasi mudah alih serta menjalinkan kerjasama dengan beberapa pemain fintech sebelum ini.

“Sebagai contoh, kami telah bekerjasama dengan ‘Snap & Pay’, yang mana setiap aktiviti pembayaran dilakukan menggunakan kaedah kod QR.

“Kami juga turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ‘Berry Pay’ untuk tujuan kiriman wang mudah alih dan juga KiplePay Sdn. Bhd. bagi meneruskan agenda transaksi tanpa tunai.

“Kami juga akan mengadakan usaha sama penggunaan teknologi fintech yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua belahpihak.” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas