Berita

MKI perlu fahami atmosfera baharu

SULTAN NAZRIN bertitah sempena Sambutan Jubli Emas MKI baru-baru ini.
- Diterbit 15 November 2019 6:33 AM MYT

Petikan titah SULTAN PERAK, SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH pada Majlis Titah Diraja sempena Sambutan Jubli Emas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 7 November 2019.

YA-MALIK, YA-AZIIZ, YA-JABBAR, YA-MUTAKABBIR, Dengan kebesaran Asmaul Husna, sifat-sifat mulia Mu, hamba-Mu melafazkan kalimah syukur atas anugerah rahmat Mu, memungkinkan hamba-Mu ini, berangkat untuk menzahirkan titah dalam Majlis Sambutan Jubli Emas, penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

Majlis Raja-Raja dalam persidangan kali ke 81, pada 17 Oktober 1968, telah memperkenankan penubuhan sebuah badan untuk menyelaraskan urusan hal ehwal agama Islam di seluruh Malaysia. Badan yang dinamakan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Barat ditubuhkan pada 1hb. Julai 1969. Selanjutnya, Persidangan Majlis RajaRaja kali ke 82, pada 24 Julai 1969, telah memperkenankan, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj, dilantik sebagai Pengerusi Majlis tersebut. Susulan penyertaan Sabah dan Sarawak, badan ini, pada 17 Jun 1971, dinamakan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, dirujuk dengan nama singkat MKI.

Tujuan utama MKI ditubuhkan, adalah untuk mengelakkan berlakunya perbezaan atau setidak-tidaknya dapat mengurangkan perbezaan dan perselisihan dalam urusan hal ehwal agama Islam antara negeri di Malaysia. Objektif MKI adalah untuk melihat penyatuan yang lebih kukuh dalam urusan hal ehwal agama Islam; menegakkan konsep ulung “kesatuan dalam kepelbagaian” (unity in diversity), seiring dengan kalam hikmah yang tertera di jata negara, “BERSEKUTU BERTAMBAH MUTU.”

Alhamdulillah, dengan izin ILAHI, MKI telah mencapai usia 50 tahun. Dalam tempoh 50 tahun penubuhannya, bermula daripada peringkat menyusur denai – merintis jalan, para ulama dan umara, secara tekun – secara gigih, mencantumkan fikiran – menggabungkan tenaga, melakukan pelbagai usaha hingga MKI kini berakar kukuh, merendang dahan – merimbun subur. Sewajarnya, jasa bakti para ulama dan umara, dan setiap tenaga yang berada di sebalik kejayaan MKI, dikenang dan dihargai. Ramai di antara mereka merupakan wira yang tidak didendangkan. Ramai pula di antara mereka, telah kembali ke Rahmatullah. Semoga segala jasa murni dan khidmat bakti mereka, diterima oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala sebagai amal makruf, yang dikurniakan ganjaran dunia – ganjaran akhirat. Sama-sama kita kenangi – samasama kita hargai, jasa dan khidmat mereka, dengan membacakan surah Al-Fatihah; memohon agar amal kita daripada bacaan tersebut diterima ILAHI, dan apa jua ganjaran daripadanya, disampaikan kepada roh-roh mereka yang telah berada di alam barzakh. Al-Fatihah.

Perjalanan meraut usia 50 tahun, pastinya sarat dengan pelbagai peristiwa, cabaran dan ujian, merangkumi kisah-kisah kejayaan, pencapaian dan ketidaktercapaian. Pada usia 50 tahun ini, amatlah bertepatan bagi MKI melakukan pemeriksaan dan bedah siasat, mengenal pasti tahap keupayaan diri, di samping memperkenalkan pengubahsuaian, agar kelemahan dapat diperbaiki – kekuatan dapat diperkukuhkan, demi memastikan MKI penuh bertenaga, berupaya mendaki gunung kehidupan 50 tahun yang akan datang, mengharungi atmosfera yang amat berbeza dengan atmosfera pada tahun 1968.

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, memperuntukkan, agama Islam ialah agama Persekutuan. Penegasan, meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan, merupakan salah satu daripada tujuh wasiat Raja-Raja Melayu, ketika memberikan perkenan kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. Peruntukan tersebut memberikan implikasi undang-undang yang besar. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memberikan satu keistimewaan kepada agama Islam, membolehkan dana kerajaan dibelanjakan untuk membiayai pengurusan dan pembangunan berkaitan agama Islam. Badan, organisasi dan institusi Islam ditubuhkan; bangunan pentadbiran, institusi latihan, mahkamah syariah, masjid dan surau, dibina; pelbagai jawatan untuk menguruskan hal ehwal Islam, merangkumi jawatan-jawatan hakim syarie, mufti, imam, bilal dan siak, pentadbir hingga pemandu, diwujudkan, dengan pembiayaan perbelanjaan oleh kerajaan, baik di peringkat pusat begitu juga di peringkat negeri.

Dana kerajaan yang disediakan untuk membiayai perbelanjaan hal ehwal urusan Islam memberikan impak yang sangat besar. Rumah ibadat umat Islam, masjid dan surau di kampung-kampung, yang pada satu masa dahulu, beratap nipah – berbumbung zink, berdinding papan – berlantai kayu – beralas tikar mengkuang, bertukar wajah kepada bangunan konkrit beratap genting, berpermaidani, dilengkapi kipas, malah semakin banyak masjid dan surau yang dilengkapi pendingin udara. Emolumen diperuntukkan untuk pegawai di pelbagai agensi agama Islam dan imbuhan turut disediakan untuk pegawai masjid. Dijadikan dasar, setiap institusi kerajaan menyediakan surau untuk kakitangan di dalam bangunan masing-masing, malah pihak swasta dianjurkan untuk turut menyediakan kemudahan tempat bersolat, di bangunan-bangunan hotel, gedung perniagaan, pusat membeli belah, lapangan terbang, stesen bas dan stesen kereta api, termasuk di sepanjang lebuh raya. Lot diperuntukkan dan digazet sebagai rizab masjid atau surau ketika meluluskan kawasan penempatan atau perumahan baharu, disusuli kemudiannya dengan peruntukan dana kerajaan untuk menampung urusan pembinaan.

Selaras dengan perkara yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan, Kerajaan mengambil tanggungjawab melaksanakan program-program berkaitan Islam dengan membangunkan infrastruktur dan membekalkan sumber manusia. Meningkat dan mengembangkan syiar Islam, dijadikan sebahagian daripada agenda negara. Penubuhan MKI, pembiayaan dan perkembangannya, adalah sebahagian daripada bukti, nikmat yang dikecap oleh umat Islam di negara ini. Bersyukurlah dengan nikmat kurniaan ILAHI ini, kerana terlalu ramai yang bersikap alpa kepada nikmat ini, lalu bersifat mengambil mudah (taking for granted).

Input kepada program pembangunan Islam secara umum, menunjukkan output yang setimpal, lantas berjaya memuaskan hati banyak pihak. Masjid dan surau diimarahkan, institusi latihan menghasilkan graduan, pelbagai institusi ditubuhkan, bilangan yang menunaikan umrah, serta bilangan yang menabung dan memohon untuk mengerjakan haji semakin meningkat, bilangan jawatan yang diwujudkan ditambah dari masa ke semasa, malah turut dinaikkan gred jawatan; pelbagai program amal, dakwah, penguatkuasaan dan pendidikan dilaksanakan. Program-program agama Islam turut dipancarkan di radio dan di televisyen. Peruntukan kewangan disediakan dalam bajet tahunan, dengan jumlah yang terus ditingkatkan, tertakluk dan selaras dengan hasil kerajaan.

Dalam tempoh 50 tahun penubuhannya, bilangan kakitangan MKI telah berkembang, bermula dengan lapan orang pada tahun 1969, meningkat kepada 1,409 jawatan pada tahun 2019. Ketika ditubuhkan, peruntukan kewangan MKI diletak di bawah peruntukan Jabatan Perdana Menteri, kini diletakkan secara khusus di bawah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM). Jumlah peruntukan kewangan JAKIM meningkat daripada 821 juta ringgit dalam bajet 2019 kepada 1.3 bilion ringgit dalam bajet 2020. Dengan segala infrastruktur yang dibangunkan, dengan tenaga manusia yang disediakan, serta dengan perbelanjaan yang diperuntukkan, tersangatlah utama dalam hasrat mahu memperkukuhkan MKI, untuk dinilai dan dilihat kembali MKI secara keseluruhan. Sejarah 50 tahun MKI hendaklah dijadikan guru kehidupan, dan para petugas hendaklah menjadi murid yang bijaksana, arif memilih antara intan dan kaca. Ada dua opsyen yang boleh dipertimbangkan. Pertama: mendabik dada, berasa puas, kerana objektif penubuhannya telah tercapai, diukur daripada sudut nisbah output kepada input, berlandaskan data-data berbentuk kuantitatif; atau Kedua: melakukan penilaian yang lebih kritis, mencabar minda untuk menyelami di bawah paras permukaan, dan mengenal pasti hasil sebenar, ia itu nisbah outcome kepada input.

Sejarah 50 tahun MKI hendaklah dijadikan guru kehidupan, dan para petugas hendaklah menjadi murid yang bijaksana, arif memilih antara intan dan kaca.

Telah menjadi lazim kepada banyak organisasi, bersikap taksub dengan Indeks Prestasi Utama (atau KPI, Key Performance Index), dijadikan kayu ukur pencapaian, berasaskan penilaian kuantitatif, dan melupakan pentingnya, dilakukan juga ukuran berasaskan kualitatif. Penilaian yang lebih menyeluruh, adalah penilaian yang berani menyelami untuk menemui realiti arus yang berlegar di bawah permukaan tasik yang kelihatan tenang. Ada kemungkinan, sebahagian daripada agenda, demikian juga sebahagian daripada program yang dilaksanakan, terlepas dinilai berdasarkan impak, atau tidak dilakukan ukuran impak, sama ada daripada segi impak sosial, impak minda dan impak emosi, begitu juga penilaian daripada segi pulangan, berasaskan pelaburan sumber dan kewangan yang telah dilakukan. Cerita kejayaan, mudah meletakkan manusia lena dibuai mimpi yang mengasyikkan, hingga ketika dikejutkan oleh realiti, kerosakan sudah pada peringkat yang terlalu parah. Oleh itu amatlah penting dilatih, agar minda senantiasa bersifat kritikal, berupaya menganalisis ketulenan dan kesahihan sesuatu pencapaian, daripada dilalikan oleh skrip dan koreografi yang dipamerkan di pentas kejayaan.

Untuk melangkah ke hadapan, amat perlu diteliti aspek pemikiran dan aspek artikulasi, serta permasalahan yang terpisah daripada data dan fakta, yang sering kali menjadi punca kepada banyak isu. Pada era data sudah bertimbun, pada era data boleh dianalisis dengan bijaksana melalui teknologi pintar, data dan analisis data, sepatutnya menjadi taman permainan (play ground) kepada pelajar, sarjana, pemikir, pengurus, pentadbir dan pemimpin Islam. Formula penyelesaian yang tidak berasaskan data dan fakta, dibimbangkan boleh membawa kepada tafsiran yang kurang tepat, lantas berpotensi melimpahkan kesan buruk kepada masyarakat Islam. Hargailah peranan data dan fakta, kerana data dan fakta, dapat membebaskan ummah daripada mengambil tindakan dan memberikan reaksi berlandaskan emosi dan intuitif yang tidak terkawal. Tindakan dan reaksi, yang dipengaruhi oleh emosi dan intuitif, lebih cenderung menghasilkan outcome yang bernilai negatif.

Dalam hasrat mahu merekayasa peranan organisasi, dan dalam merancang agenda membangunkan ummah, umat Islam hendaklah bersedia bermuhasabah, bersedia melakukan penilaian, dengan menginsafi tiada seorang pun terlepas daripada kesilapan; agar kelemahan dapat diperbaiki dan kekuatan dapat diperkukuhkan, selaras dengan keinsafan yang menjiwai kata pesanan Sayidina Umar al-Khattab Radiallahuanhu: “Hisablah diri sebelum kamu dihisab dan timbanglah amalan sebelum kamu ditimbang kelak pada hari akhirat.”

Berasaskan perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Negeri, Beta dipertanggungjawabkan dengan amanah sebagai Ketua Agama Islam Negeri. Sewaktu Beta dimasyhurkan sebagai Sultan Perak Darul Ridzuan, nama Beta telah dilengkapkan dengan gelaran Muizzuddin, bermaksud ‘pemerkasa agama’. Beta amat insaf, akan serba serbi kedaifan, dan kurang kearifan Beta dalam hal ehwal Islam. Didikan yang diterima di dalam keluarga terlalu asas (primary) kandungannya, dan pengajian dalam masa yang terbatas, daripada guru Al-Quran yang datang ke rumah, begitu permulaan (elementary) isinya. Didikan dan pengajian yang begitu terbatas, yang diperoleh dalam 14 tahun pertama usia Beta sebelum melanjutkan pelajaran keluar negara, sekadar cukup untuk keperluan diri Beta, bak kata bidalan, “kecilnya duduk mengaji, besarnya tegak sembahyang”, mengupayakan Beta memahami Rukun Islam yang lima, mengenali Rukun Iman yang enam, di samping dibimbing mengenai perkara-perkara asas yang ditakrif sebagai makruf dan mungkar. Namun, didikan yang paling berkesan untuk membolehkan Beta lebih memahami dan berusaha sedaya mungkin menghormati perkara-perkara makruf dan menjauhi perkara-perkara mungkar, dihayati melalui asuhan kedua ayahanda bonda di dalam rumah, yang secara berkesan, berjaya menyemaikan nilai-nilai keinsanan yang amat berharga lagi murni, di samping mencontohi teladan baik daripada guru-guru yang memberikan bimbingan.

Sesungguhnya, kesempurnaan itu hanya milik ALLAH Subhanahu Wata’ala. Dalam kedewasaan, berperanan sebagai Amirulmukminin, untuk menyempurnakan amanah ILAHI dan memenuhi harapan rakyat, asuhan yang asas dan permulaan semasa dalam usia persekolahan itu amat besar peranannya. Beta bersyukur berayahanda seorang hakim, berbonda seorang guru, kombinasi profesion hakim dan guru yang amat tegas mengutamakan ilmu, disiplin, amanah, jujur, ikhlas, peraturan, kebenaran dan kepalsuan, lalu berjaya menyemaikan nilai-nilai tersebut ke dalam hati sanubari lima orang didik baginda berdua, membolehkan didik-didik tersebut mengenali, memahami dan sebaik mungkin melakukan yang makruf dan menghindar yang mungkar. Beta menghargai contoh teladan dan asuhan yang amat berkesan yang ditinggalkan oleh para guru, menyampai dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Nilai-nilai yang disemai oleh ayahanda – bonda, diperlengkap asuhan guru, telah membina keyakinan dalaman, mengukuhkan diri Beta untuk berdiri atas kalam kebenaran – bersuara atas hakikat kenyataan.

Dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab sebagai Amirulmukminin, peranan ulama dan umara yang ikhlas lagi jujur, menyembahkan sebaik nasihat, amatlah membantu untuk membolehkan Beta melaksanakan pemerintahan secara adil lagi berhikmah. Kerana itu, ketika ditabalkan sebagai Raja Pemerintah, kepada ALLAH Subhanahu Wata’ala, Beta pohonkan untuk dikurniakan para wazir dan pembesar negeri, serta anggota pentadbiran yang memiliki iman dan takwa seperti yang pernah dikurniakan kepada Khalifah Ketujuh Dawlah Uthmaniayyah, Sultan Muhammad al-Fatih, seorang sultan yang berani melakukan pembaharuan, memerintah dengan cemerlang hingga berjaya menukar haluan sejarah. Betapa pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih didukung oleh ulama dan umara, di samping angkatan tentera yang tidak pernah meninggalkan solat wajib dan separuh daripada mereka tidak pernah meninggalkan Solat Sunat Rawatib. Dan kepada ILAHI, Beta senantiasa memohon ihsan untuk dikurniakan hikmah kebijaksanaan pemerintahan seperti yang dikurniakan kepada Nabi Daud Alaihissalam dan Nabi Sulaiman Alaihissalam menurut ayatayat yang terkandung dalam Surah Shaad. Demikian juga dipohonkan untuk disingkapkan rahsia agar dapat menemui pedoman di sebalik kehebatan Zul-Qurnain, seorang Raja yang beriman lagi soleh, bijaksana dan memerintah dengan adil, seperti yang diperihalkan di dalam Surah Al-Khafi.

Pada hemat Beta, sebagai seorang murid yang diasuh, dibimbing dan dididik, serta didedahkan dan diceritakan babak-babak kecemerlangan dan keunggulan Islam, aspek kualitatif, aspek dalaman, aspek rohaniah amat diutamakan di dalam Islam. Kehebatan Islam yang diukur daripada keindahan luaran, permukaan sifatnya. Masjid yang indah seni binanya, tetapi kosong program pengisiannya, dianggap lompong (hollow). Manusia yang tinggi kelulusan akademiknya, tetapi rendah adabnya, tidak layak digelar ilmuwan; hartawan yang menggunung kekayaannya tetapi memperolehnya dengan cara merompak, menipu, menyeludup dan rasuah lebih rendah martabatnya daripada seorang yang bergaji kecil tetapi halal pendapatannya; pemimpin yang tidak mengotakan apa yang dikata, tidak wajib dihormati, jauh sekali daripada diikuti.

Pantun lama Melayu mengungkapkan: Penakik pisau seraut, Ambil galah batang lintabung, Seludang jadikan nyiru; Yang setitik jadikan laut, Yang sekepal jadikan gunung, Alam terbentang jadikan guru. Demikian peranan keazaman dan peranan kegigihan dalam tradisi masyarakat Melayu, yang berazam dan gigih mengusahakan air setitik menjadi laut, tanah sekepal menjadi gunung, menjiwai semangat sikit-sikit, lama-lama jadi bukit, menghayati budaya: Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Budaya Melayu mendidik bangsanya, memahami bahawa segala kejayaan memerlukan azam yang teguh dan usaha yang gigih; ruyung perlu dipecahkan untuk mendapatkan sagu, tidak sekadar mengharapkan yang bulat datang menggolek – yang pipis datang melayang.

Allah Subhanahu Wata’ala mencipta alam, segala isi dan kejadian, untuk dijadikan guru. Orang-orang tua kita dahulu, banyak berguru kepada alam, kerana itu mereka sangat menghargai alam dan tidak akan merosakkan alam. Orang-orang tua kita dahulu, lebih risau gajah di hadapan mata, daripada sibuk melihat kuman di seberang laut; kerana itu masalah, sebelum menjadi besar, sebelum membarah, tidak ditangguhkan, tetapi segera diselesaikan, agar muka tidak bercontengan arang, kerana budaya Melayu amat mengutamakan maruah, amat mengutamakan amanah, amat mengutamakan integriti, amat berpegang kepada adat yang bersendikan syarak, selaras dengan bidalan masyarakat Melayu Minangkabau: “Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah, Syarak mengata, adat memakai.” Bermakna, adat itu adalah undang-undang yang merujuk pada agama, dan agama merujuk pada Al-Quran. Agama memberikan fatwa, adat melaksanakannya. Agama dan adat, tidak untuk dipertentangkan, tapi saling bersandar satu sama lain.

Dalam hasrat menterjemahkan persepsi Beta mengenai isu yang lebih sebenar, yang dihadapi ketika ini, Beta memilih beberapa insiden untuk dijadikan renungan bersama, dijadikan pencabar kepada daya fikir, diambil iktibar daripadanya, agar perhatian tidak teralih, asyik mencari kuman di seberang laut sehingga melupakan gajah di hadapan mata, lalu minda kita terpesong daripada memikirkan dan merencanakan program yang bersifat dekat di mata – dekat di hati. Para sarjana dan para pengurus yang dipertanggungjawabkan amanah untuk menguruskan hal ehwal Islam, hendaklah memiliki hikmah dan bijaksana, tidak melakukan kerja bagai memasang pelita pada hari siang, mencari bayang pada waktu malam, lalu menerima akibat benang habis – kain tak jadi, jarum patah – baju tak siap; di sebaliknya program-program yang dilaksanakan hendaklah bersifat, jika berladang biar menjadi – jika bersawah biar berpadi.

Akhbar-akhbar pada 26 Julai 2017, melaporkan, orang ramai di sebuah perkampungan, berkerumun mengutip timbunan beras yang jatuh daripada sebuah lori yang membawa muatan 40 metrik tan bekalan. Pada 31 Julai 2019, sebuah treler membawa muatan susu, terbalik di sebuah kampung, menyebabkan ribuan stok susu bertaburan di atas jalan. Rakaman video berdurasi 34 saat yang tular di laman sosial Facebook dan WhatsApp, memaparkan, penduduk kampung, berpusu-pusu mengutip susu untuk di bawa balik ke rumah. Satu lagi klip video dikirim atas nama Agenda Melayu Mahawangsa kepada akhbar Utusan Malaysia, memaparkan insiden yang berlaku pada 28 Julai 2019, menyaksikan tiga tan botol-botol berisi air Cola jatuh di lebuh raya di sebuah negara bukan Islam. Pejalan kaki dan pemandu kereta, bekerjasama mengutip botol-botol Cola berkenaan untuk dikembalikan kepada pemandu trak, dan tidak ada satu pun botol Cola yang hilang1 .

Kolumnis, Zulkifli Jalil dalam ruang ‘Tumpang Lalu’ melalui rencana bertajuk, “Betul yang biasa, biasa yang betul”, dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 6 Ogos 2019, merintih kemusykilan, mendengar perbuatan mengambil barang orang yang sangat jelas menyalahi ajaran Islam. Beliau bersimpati dengan nasib malang pemilik yang terpaksa membayar ganti rugi dari duit gaji sendiri kerana kemalangan yang dialami. Zulkifli Jalil mengakhiri rencana beliau dengan mencatatkan beliau tidak marah, tetapi MALU dengan bangsa sendiri dan menyeru agar diterapkan dalam diri, nilai murni dan sahsiah budaya yang disegani, agar orang Melayu dan umat Islam, dihormati oleh orang lain.

Tiga insiden kemalangan jalan raya, di tiga tempat, dua kejadian di Malaysia, sementara kejadian ketiga berlaku di sebuah negara bukan Islam. Pemandu yang mencari rezeki dengan memandu lori, dipercayai bergaji kecil, tentunya berada dalam keadaan yang sangat tertekan menghadapi kemalangan yang berlaku. Dua kemalangan yang berlaku di Malaysia melihat reaksi yang sama, orang ramai, berebut-rebut mengambil barangan yang bersepah di jalan raya, sementara insiden yang berlaku di sebuah negara lain, menunjukkan orang ramai, membantu mengumpul barang yang bersepahan untuk dikembalikan kepada pemandu. Beta juga menyaksikan, di banyak negara, akhbar dan majalah diletakkan di serata tempat secara terbuka, dan pembeli membayar wang secara memasukkan ke dalam kotak, setelah mengambil akhbar. Tiada berlaku kejadian akhbar diambil tanpa bayaran, atau kotak berisi wang dibawa lari.

Beta disembah maklum dari masa ke semasa, tabung di masjid dan di surau, sering kali dipecahkan dan wangnya dicuri. Rakaman-rakaman cctv sering kali memaparkan barang-barang kepunyaan jemaah dicuri semasa jemaah sedang menunaikan solat di masjid dan di surau. Lima puluh tahun yang lalu, tidak kedengaran, malah kalau adapun berlaku kecurian di masjid dan surau, bilangannya amat kecil. Lima puluh tahun dahulu, masjid dan surau tidak perlu dikunci, sentiasa terbuka, dijadikan tempat persinggahan para musafir untuk 1 Zulkifli Jalil, “Betul yang biasa, biasa yang betul”, Utusan Malaysia, 6 Ogos 2019, ms 17. 2 Ibid. bersolat dan tumpang berehat. Kini pintu masjid dan surau yang tidak mempunyai pengawal, terpaksa dikunci dengan mangga besar selepas jemaah selesai bersolat jemaah. 25. Ketika negara mencapai kemerdekaan 62 tahun lalu, umat Islam yang berkelulusan akademik tinggi boleh dihitung dengan jari. Institusi pengajian Islam tertinggi yang dikenali ketika itu hanyalah Kolej Islam di Selangor. Semasa negara mencapai kemerdekaan, masyarakat Melayu Islam cuma mengenali seorang ilmuwan Melayu yang bergelar Pendeta Zaaba, belum ketemu anak Melayu dan ulama Melayu yang berijazah Doktor Falsafah, tetapi negara tidak menyaksikan perlakuan rasuah pada skala seperti yang dilaporkan berlaku pada hari ini, ketika anak Melayu Islam begitu ramai berijazah tinggi, berkelulusan profesional, bergelar cendekiawan. Keberkesanan pendidikan Islam yang disampaikan 62 tahun lalu, berperanan amat penting dan paling berkesan, membina dinding dan tembok, daya tahan umat Melayu Islam daripada melakukan perbuatan yang menggadaikan maruah bangsa, menghindar kebanyakan pegawai Melayu Islam daripada melakukan kemungkaran – melakukan dosa dengan perbuatan pecah amanah, rasuah dan menyalah guna kuasa.

Anak-anak Melayu Islam, 62 tahun dahulu mendapat bimbingan dan asuhan agama di madrasah, surau, pondok dan rumah; ilmu, didikan dan asuhan yang disampaikan oleh para ustaz yang tidak memiliki ijazah atau diploma, datang berjalan kaki atau berbasikal untuk menyampaikan ilmu, di rumah, tetapi berjaya membina generasi yang teguh imannya – kukuh prinsipnya, menjunjung amanah dan memenuhi tanggungjawab secara ikhlas – secara jujur.

Apakah nila yang telah merosakkan susu. Apakah petualang yang telah merosakkan nilai mulia, nilai terhormat dan nilai murni yang dimiliki oleh umat Islam di bumi ini pada satu masa dahulu, ketika pengajian agama lebih merupakan tanggungjawab ibu bapa, berlaku dalam keluarga – berlaku dalam masyarakat; berlangsung dalam surau, dalam madrasah dan dalam masjid, dan kini setelah kerajaan menyediakan dana yang besar, pengajian agama Islam diajar secara formal di dalam bilik darjah sekolah, lengkap dengan kurikulum, sistem penilaian, peperiksaan dan pemarkahan secara formal, di bawah bimbingan guru-guru yang memiliki diploma dan ijazah, daripada darjah satu hingga ke tingkatan lima, malah hingga ke pusat pengajian tinggi.

Adakah tahap kemiskinan begitu memudaratkan, menjadi faktor penyebab sehingga penduduk di dua buah kampung berkaitan, berebut mengambil makanan yang bukan hak mereka daripada tumpahan lori. Jika demikian tahap kemiskinan yang mereka alami, sehingga terlupa hukum halal – haram, ternyata ada institusi, termasuk institusi agama yang telah tidak memenuhi tanggungjawab untuk membantu nasib penduduk yang sedemikian darurat, daif dan miskin.

Islam yang Beta kenali, melalui didikan dan pendedahan awal di rumah, diperlengkap kemudiannya melalui bahan-bahan bacaan, menegaskan sifat-sifat integriti dan amanah yang amat tinggi. Seorang pengembara, diceritakan membeli secupak tamar. Semasa sukatan dilakukan, sebutir tamar, tergolek di luar cupak. Pengembara mengambil tamar yang tergolek, lalu memakannya. Setelah membayar harga tamar yang dibeli, pengembara meneruskan perjalanan, tetapi pada setiap malam tidurnya diganggu, beliau merasakan hilang kekhusyukan ketika bersolat. Beliau bermunajat, memohon petunjuk ILAHI, menunjukkan dosa yang telah dilakukan. Dalam mimpi, beliau disuruh kembali menemui penjual, membayar atau meminta halal sebutir tamar yang beliau makan, tetapi tidak termasuk dalam sukatan semasa urusan jual beli. Beliau berpatah balik ke tempat penjual tamar, dimaklumkan penjual tamar telah pun kembali ke Rahmatullah. Beliau tiada pilihan, melainkan mencari setiap orang waris penjual tamar, untuk menyelesaikan hutang sebutir tamar yang dimakan tanpa dibayar.

Seorang khadam ditugas menghantar kayu, diceritakan telah mengambil satu bilah kecil daripada serpihan sebatang kayu, digunakan untuk mencungkil gigi. Setelah mencungkil gigi, serpihan kayu tersebut dilemparkan ke tanah. Dalam tidurnya, beliau bermimpi, disuruh mengembalikan serpihan kecil kayu yang telah dibuang atau meminta dihalalkan daripada tuan yang empunya kayu.

Khalifah Umar Abdul Aziz, terkenal dengan sikap merendah diri, adil lagi teliti mengendalikan urusan negara, terutama dalam menangani rasuah serta kesaksamaan ekonomi, memperlihatkan amalan integriti yang amat tinggi, memadamkan pelita yang menggunakan minyak milik negara ketika melakukan kerja peribadi. Salahuddin Ayubbi, meskipun bertaraf Sultan, melakukan pengembaraan, menjelajah dunia ilmu, berguru dengan Imam Malik, mengamalkan sifat pemurah dan suka bersedekah; ketika menghembus nafas terakhir, hanya meninggalkan sekeping syiling emas dan empat puluh tujuh keping syiling perak.

Demikian tahap kesucian diri yang ditegaskan di dalam Islam dan dipamerkan oleh pengamal Islam yang sejati. Keagungan Islam perlu dicerminkan melalui sifat dan watak insaniah ummah, bukan pada apa yang diuar-uarkan, atau apa yang dimegahkan, dengan menceritakan kisah kehebatan tokoh-tokoh Islam zaman silam, yang sudah pun menjadi sejarah. Tidak siapa yang akan mempedulikan apa yang diuar-uarkan, jika yang diuar-uarkan sangat bercanggah dengan sifat dan watak yang menjadi bukti hidup yang sedang disaksikan oleh dunia pada hari ini.

Tersebar dalam media sosial kisah seorang pelancong berketurunan Scotish di Kota London yang mengunjungi pameran “Introduction to Islam”. Seorang Da’ee berkongsi pengalaman interaksi beliau dengan pelancong tersebut. Apabila Da’ee bertanyakan, sama ada beliau boleh membantu memperkenalkan Islam, pelancong tersebut menjawab, tidak perlu, kerana beliau tidak berminat dengan teori. Beliau memaklumkan, pernah bertugas di beberapa buah negara Islam Arab, untuk tempoh yang panjang; beliau membaca banyak bahan tentang Islam. Beliau menyatakan Islam adalah agama yang indah lagi menarik, agama yang menganjur hubungan dengan pelbagai pihak, merangkumi umat Islam dan bukan Islam. Islam mengajar kaedah beribadah dengan Tuhan secara jelas, kaedah melayan ibu bapa, isteri, anak-anak, jiran tetangga, dan masyarakat secara keseluruhannya. Malangnya kata beliau, tingkah laku yang dipamerkan oleh ramai umat Islam adalah di sebalik apa yang dituntut. Beliau menyenaraikan perkara-perkara yang pada pemerhatiannya telah mencemarkan kesucian Islam, dilakukan oleh ramai pihak yang mendakwa beragama Islam, antaranya, menipu, bersumpah palsu, mencuri, tidak menghormati masa, memfitnah dan memperkecil-kecilkan sesama sendiri, bersifat perkauman, mengumpul kekayaan dengan cara yang salah, tidak menghiraukan kebersihan, memuliakan yang kaya – menghina yang miskin, menggunakan undang-undang secara selektif, memanipulasi agama untuk kepentingan diri, kurang mendalami, kurang memahami dan kurang menghayati Islam, walaupun lahir dalam agama Islam, lalu menjadi pengikut yang buta.

Beliau menyuarakan pandangan bahawa banyak wang, tenaga dan masa digunakan oleh pelbagai organisasi untuk menganjurkan pameran kehebatan Islam, tetapi ulas beliau, pameran-pameran tersebut gagal membawa hasil yang diharapkan, selagi umat Islam tidak memahami kandungan dan tujuan sebenar Al-Quran. Beliau menasihatkan agar umat Islam kembali kepada Al-Quran yang sangat indah dan mengagumkan dan umat Islam wajib melaksanakan prinsip dan adab yang terkandung di dalam Al-Quran; dan apabila berjaya dilaksanakan, percayalah ramai pihak akan meminati dan mengikuti Islam tanpa perlu menganjurkan sebarang pameran. Manusia lebih tertarik kepada bukti yang dapat dilihat secara nyata daripada tulisan yang tersimpan di dalam kitab. Pandangan yang disuarakan oleh seorang non Muslim terhadap umat Islam ini, hendaklah ditafsirkan sebagai satu maklum balas berharga, diterima secara positif – secara konstruktif, kerana reaksi secara defensif akan menyebabkan umat Islam terus berada di dalam budaya penafian.

Kisah-kisah yang dipetik ini sewajibnya dijadikan pedoman, dijadikan kompas ketika merangka program agar dapat mengubati apa jua wabak yang ada dalam batang tubuh institusi Islam. Institusi yang diamanahkan untuk menguruskan hal-hal ehwal Islam wajib memahami secara mendalam keperluan sebenar agar program yang diperkenalkan dapat memenuhi keperluan ummah dan tidak sekadar berbentuk luaran, ritual dan kosmetik. Umat Islam hendaklah berani belajar daripada kesilapan masa lalu, yang terlalu cenderung memilih jalan pintas untuk menyelesaikan masalah, kerana mahu mendapat kemenangan yang cepat (quick win). Terlalu kerap, penyelesaian diformulasikan untuk mendapat kemenangan cepat; kaedah penyelesaian yang tidak kukuh asasnya dan yang amat sementara sifatnya.

Kegemilangan Islam pada satu masa dahulu meninggalkan legasi dan idealisme tinggi. Kemajuan sesuatu bangsa tidak boleh bergantung pada legasi dan idealisme sematamata. Naratif masa hadapan untuk merubah kualiti masyarakat Islam ke arah yang lebih progresif hendaklah dirintis dengan menyuburkan semangat dan naratif realis dan futuris. Survival umat Islam perlu dibina melalui pembinaan kekuatan minda dan menyuntik keyakinan untuk bersaing dan berlumba, bukan dengan kaedah menakut-nakutkan ummah, sehingga ummah mempunyai prejudis – mempunyai prasangka, tidak selesa – merasakan diri sebagai makhluk asing (alien) apabila berada dalam situasi yang dikelilingi oleh bukan Islam. Perbuatan menakut-nakutkan ummah samalah seperti budaya menakut-nakutkan anak-anak Melayu di kampung pada era pra dan pascamerdeka dengan cerita-cerita puntianak dan hantu kubur, hingga anak-anak tersebut dibunuh keberanian mereka, lalu menjadi pengecut dan penakut. Perbuatan menakut-nakutkan ummah secara keterlaluan, teramat merugikan, kerana ummah akan hilang keyakinan, dan ummah akan gentar untuk bersaing di dunia yang lebih besar, apabila berada di luar kepompong kumpulan sendiri.

Agama terbukti memiliki satu tenaga (force) kekuatan dan daya tarikan luar biasa untuk boleh menggerakkan orang ramai. Oleh itu, agama terdedah untuk dijadikan instrumen bagi mencapai cita-cita sempit individu atau kumpulan, jika orang ramai dapat diyakinkan, dan jika orang ramai tanpa terlebih dahulu memeriksa fakta dan kesahihan, dan tanpa berfikir, menerima slogan atau retorik agama yang dilaungkan. Oleh itu, umat Islam yang cintakan Islam, dan umat Islam yang memahami ajaran Islam yang sebenar, tidak harus berpeluk tubuh, memilih menjadi penonton dan majoriti yang membisu (silent majority), merelakan Islam di rampas (hijack) oleh kumpulan-kumpulan yang memanipulasikan Islam untuk tujuan sempit.

Umat Islam mempunyai tanggungjawab besar untuk membantu negara, merangka formula, memperkenalkan program-program Islam yang lebih berkesan, menyemai kembali pegangan tauhid dan keimanan yang kukuh dalam kalangan ummah, agar nilai-nilai murni, jujur, amanah dan ikhlas menjadi darah daging kepada setiap umat Islam. Umat Islam mempunyai cabaran berat untuk mentransformasikan minda dan jiwa, agar menjadi minda dan jiwa merdeka, meletakkan sepenuh pengabdian kepada ALLAH Subhanahu Wata’ala, lantas tidak akan bersekongkol, di sebaliknya berani menentang kemungkaran. Setiap keluarga Islam wajib sedar, bahawa Islam yang diwarisi secara automatif melalui kelahiran itu, perlu diperlengkap dengan pengisian.

Setiap Muslim mempunyai dua tanggungjawab, tanggungjawab kepada ALLAH, fardu ain, dan tanggungjawab sesama makhluk, fardu kifayah. Di samping peranan yang dilaksanakan oleh MKI, setiap organisasi Islam dan setiap seorang umat Islam memiliki tanggungjawab fardu kifayah untuk meletakkan negara ini berada pada landasan yang betul, agar menjadi sebuah negara yang sejahtera dan mendapat keampunan Ilahi, BALDAYATUN TAYYIBATUN WA RABUN GHAFFUR, seperti yang digambarkan di dalam Al-Quran, ayat 15 Surah Sabah. Negara Islam itu dibangunkan oleh ummahnya, melalui sifat dan laku ummahnya, bukan melalui penjenamaan nama negara. Negara, dan organisasi tidak dapat mendakwa diri masing-masing sebagai Islam, jika warga sesebuah negara, dan ahli kepada organisasi tidak mengamalkan sifat-sifat seorang Muslim yang sejati.

Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala memberikan petunjuk dan pembimbing, memberikan kekuatan dan keazaman, agar tanggungjawab agama, dapat sama-sama kita laksanakan. Amin Ya Rabbal Alamin ! Demi masa! Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian; kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran, dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas