Berita

Tambah baik MyGrocer@Wilayah

ZAIZALNIZAM (kanan) beramah mesra dengan salah seorang penduduk PA Seri Sabah yang sedang memilih ayam di tapak kawasan MyGrocer@Wilayah.
- Diterbit 13 Ogos 2022 12:30 AM MYT

BEBERAPA penambahbaikan Program MyGrocer@Wilayah akan dilakukan dari semasa ke semasa selaras matlamatnya membantu warga kota mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga jauh lebih rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun berkata antara perkara penting yang akan dilaksanakan adalah mendapatkan ruang parkir khas untuk trak, khemah jualan serta penambahan bekalan barangan.

“Kita faham di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) agak sukar untuk mendapatkan parkir. Jadi, kita amat mengharapkan kerjasama daripada persatuan penduduk termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengatasi masalah ini.

“Selain itu, dari segi khemah pula, kita akan memastikan setiap trak MyGrocer@Wilayah mempunyai beberapa khemah jualan untuk dipacakkan berhampiran kawasan trak semasa jualan sedang beroperasi,” ujar beliau ketika meninjau operasi MyGrocer@Wilayah di PA Seri Sabah, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, dengan memacakkan khemah di sekitar tapak jualan, ia akan memudahkan pembeli ketika memilih, mendapatkan barang dan membayar tanpa perlu berebut.

“Sekiranya ada khemah seperti ini, ia boleh menjadi tanda pemakluman kepada penduduk bahawa MyGrocer@Wilayah sedang beroperasi selain menguar-uarkan waktu ia berjalan kepada orang ramai,” ujar beliau lagi.

Memandangkan barangan yang dijual masih terhad, pihaknya akan menambah bekalan barangan jualan dan dalam masa yang sama memastikan setiap barangan tersebut dijual mengikut harga yang telah ditetapkan.

“Kita akan menambah jumlah barangan yang sering menjadi tumpuan penduduk seperti telur, sardin, ayam, ikan dan daging. Setiap barangan ini juga kita akan pastikan ia dijual lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding pasaran luar,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Mengulas lanjut tentang harga yang dikatakan jauh lebih murah dan sangat membantu warga PPR/PA yang terkesan dengan kenaikan harga barang, Zaizalnizam berkata maklum balas yang diterima begitu memuaskan.

“Setakat ini, bukan saya sahaja yang berpuas hati dengan harga yang ditawarkan tetapi penduduk juga mengakui perkara yang sama. Belanja dapur mereka berkurang selain boleh mendapatkan makanan yang berkhasiat.

“Saya berharap penduduk mengambil peluang turun mendapatkan barangan kerana ini adalah inisiatif terbaik Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerusi menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim,” kata beliau. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas