Berita

Program Santuni Kanak-Kanak usaha murni kerajaan beri perkhidmatan secara terus

FADZILLAH (tengah) menerima saguhati daripada Pengarah JKM Labuan Ansharey (dua dari kiri) pada majlis perasmian program itu pada Sabtu lalu.
- Diterbit 13 Ogos 2022 12:00 AM MYT

PROGRAM Santuni Kanak-Kanak dan Komuniti Sub Zon 5 Wilayah Persekutuan Labuan merupakan usaha murni dan platform kerajaan dalam memberi perkhidmatan terus kepada golongan itu.

Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias berkata usaha pelaksanaan program seperti itu memberi manfaat yang baik kepada masyarakat setempat dalam pelbagai perkhidmatan.

“Saya amat berharap pelbagai program yang dijalankan dalam program pada hari ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua warga di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Saya ingin menyeru kepada semua agar sama-sama berganding bahu untuk terus memperkasa Keluarga Malaysia dengan pengukuhan elemen kasih sayang dalam keluarga masing-masing dan menanam tekad dan azam berhubung perkara ini supaya kita hidup dalam aman dan harmoni,” katanya semasa merasmikan program itu di Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS), pada Sabtu lalu.

Ucapan itu diwakilkan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbandaran Perbadanan Labuan, Fadzillah Mahmud.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Ansharey Matarsad berkata program tersebut antara lain bertujuan untuk memberikan motivasi dan suntikan semangat kepada golongan sasar agar dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dan berkualiti.

“Selain itu ia juga memberikan ruang dan peluang kepada golongan sasar untuk lebih berwaspada mengenai kesihatan diri serta kesedaran berkaitan isu jenayah,” katanya.

Terdahulu, program itu turut membabitkan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Labuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Pejabat Pembangunan Wanita Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Perskutuan (MAIWP), Jabatan Penerangan Labuan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Labuan, Jabatan Agama Islam Labuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Labuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas