Berita

RM2.972 bilion demi warga kota

NOR HISHAM (tiga dari kanan) menunjukkan dokumen Belanjawan 2020 DBKL yang dibentangkan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 19 Disember 2019 5:10 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukan RM2.972 bilion dalam Belanjawan 2020 khusus untuk kemakmuran dan mensejahterakan warga kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, belanjawan bertemakan ‘Bandar Raya Ceria, Kemakmuran Bersama’ itu memperuntukkan RM1.826 bilion atau 61.5 peratus untuk perbelanja­an mengurus manakala RM1.146 bilion (38.5 peratus) untuk pembangunan.

Jelas beliau, peruntukan mengurus terbahagi kepada lima komponen iaitu perkhidmatan dan bekalan (RM1.142 bilion); gaji, upahan dan manfaat pekerja (RM504.8 juta); pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM103.2 juta); bayaran lebih masa (RM67.4 juta) dan perbelanjaan lain (RM9.5 juta).

“Bagi aspek pembangunan pula, peruntukan terbahagi kepada pembiayaan berjumlah RM696.5 juta manakala pembiayaan daripada ke­rajaan dan lain-lain berjumlah RM449 juta.

“DBKL telah memperuntukkan RM661 juta meliputi (73 projek) jalan, saliran, cerun dan longkang yang sebahagian besarnya adalah untuk mengatasi masalah banjir kilat di sekitar ibu kota,” katanya ketika membentangkan Belanjawan DBKL 2020 di sini baru-baru ini.

Menurut Nor Hisham, bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur di seluruh ibu kota pula, DBKL akan bekerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dalam kerja-kerja penurapan semula jalan dengan mengguna­kan ‘Rubberised Bitumen’ iaitu penggunaan teknologi Cuplump Modified Asphalt (CMA).

Ujar beliau, pihaknya turut memperuntukkan RM20 juta untuk pengurusan bas percuma GoKL pada tahun hadapan dengan perancangan untuk menambah dua lagi laluan perkhidmatan ‘first mile’ di sekitar ibu kota.

“Sebanyak RM26.5 juta diperuntukan untuk program sewaan peralatan Integrated Transport Information System (ITIS) yang melibatkan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) dan perisian pengurusan video (VMS) yang mana 309 CCTV untuk polis manakala 691 CCTV untuk pemantauan trafik.

‘‘DBKL juga telah menjadi­kan Jalan Kinabalu menghala ke Cheras sebagai laluan free-flow iaitu laluan tanpa kawalan lampu isyarat di persimpangan Jalan Kinabalu/Jalan Maharajalela bermula 14 Disember lalu,” katanya.

Nor Hisham berkata, RM10 juta diperuntukan untuk menaik taraf pemasangan lampu LED (Light Emitting Diode) di lima buah taman awam iaitu Taman Tasik Datu Keramat, Taman Dusun Bandar, Taman Kejiranan Air Panas, Taman Bukit Jalil dan Taman Alam Damai.

“Sebanyak 45,100 unit lampu jalan jenis High Pressure Sodium Vapour (HPSV) ke­pada LED telah dipasang dan akan meneruskan pengganti­an mana-mana baki lampu jalan pada tahun 2020.

“Selain itu, RM7.5 juta akan digunakan untuk membaikpulih dan menaik taraf bangunan warisan iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad dan Panggung Bandaraya,” kata­nya.

Menurutnya, empat buah perpustakaan rangkaian akan siap sepenuhnya pada tahun hadapan iaitu Pustaka KL@Pudu Ulu, Pustaka KL@Masjid Al-Rahimah, Kg Pandan, Pustaka KL@ PPR Sri Semarak dan Pustaka KL@PPR Sri Kelantan sempena Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020.

“Dalam memenuhi keperluan penduduk ibu kota, RM65 juta diperuntukan untuk projek Perumahan Awam Council Home di Kampung Sungai Udang yang dijangka disiapkan pada akhir tahun hadapan.

“Projek pembangunan semula Pasar Raja Bot dengan kos keseluruhan RM142.8 juta dijangka siap sepenuh­nya pada tahun 2022 dan RM28 juta diperuntukkan untuk projek pembangunan semula Pasar Harian Selayang yang boleh me­nempatkan 754 lot tapak niaga yang dijangka siap pertengahan tahun 2020,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas