Berita

Taman Tasik Titiwangsa Bukti KWP peka kawasan hijau

TAMAN TASIK TITIWANGSA
PONDOK MODEN
- Diterbit 16 Ogos 2020 2:30 AM MYT

TAMAN Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur antara lokasi tumpuan pelancong asing kerana berlatar belakangkan mercu tanda Malaysia iaitu Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Istana Budaya.

Wajah baharunya membuktikan kerajaan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sentiasa komited menyediakan kawasan hijau di ibu negara sama ada landskap mahu pun pembinaan bangunannya.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Pembangunan KWP, Nor Muhamad Che Dan berkata, pihak kementerian sentiasa mengutamakan bandar raya hijau di samping komited dalam memberikan kesejahteraan kepada warga kota.

“Oleh itu, kita memberi nafas baharu kepada Taman Tasik Titiwangsa di samping menambah beberapa infrastruktur moden manakala sebahagiannya dikekalkan tetapi dibaiki,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut Nor Muhamad, menyedari panorama tasik besar yang cantik itu wajar dijadikan ‘focal point’, laluan pejalan kaki ditambah baik khusus untuk pengunjung bersiar-siar di sekeliling tasik di samping trek joging yang memberi keselesaan.

Selain itu, katanya, beberapa kemudahan lain disediakan termasuk basikal air, kanu dan taman permainan kanak-kanak yang semestinya memberikan keceriaan kepada pengunjung tanpa mengira usia serta latar belakang.

Beliau menambah, bagi memberi impak khas kepada pengunjung yang hadir, ‘maze garden’ disediakan sekali gus memberi nilai tambah kepada pengunjung di samping kemudahan menunggang kuda dan trek litar lumba kereta kawalan jauh.

Nor Muhamad memberitahu, keriangan pesona Taman Tasik Titiwangsa juga tidak terhenti pada waktu siang berikutan pengunjung berpeluang merakam pemandangan indah pada waktu senja kerana pondok usang yang dihias dengan konsep moden akan dilimpahi cahaya lampu berwarna-warni.

Katanya, pengunjung juga akan diserikan dengan pancutan air berirama pada setiap hujung minggu di samping terdapat beberapa gerai yang menjual makanan dan minuman.

“Antara kemudahan terkini yang menanti pengunjung adalah Laman Kerawang yang berkonsep ukiran serta ditanam dengan pokok-pokok berbau wangi.

“Kita juga menyediakan taman permainan air, gelanggang bola jaring dan bola keranjang di samping jambatan gantung yang dibina dengan elemen pencahayaan menarik khusus untuk pengunjung melaluinya pada waktu malam.

“Selain itu, antara kemudahan yang ditambah baik bagi menjadikan Taman Tasik Titiwangsa lebih kemas dan selesa adalah kemudahan papan tanda arah dan laluan pejalan kaki, laluan utama dan pokok-pokok dihiasi dengan lampu supaya kelihatan ceria dan lebih selamat kepada pengunjung,” katanya sambil memaklumkan projek yang menelan belanja RM99.8 juta itu berjaya mengindahkan Taman Tasik Titiwangsa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas