Berita

Pemilihan vertikal landskap perlu sesuai

|MOHD ZAMRI
- Diterbit 16 Ogos 2020 3:00 AM MYT

KESEDARAN terhadap pembangunan lestari turut mempengaruhi arkitek dalam membangunkan projek bangunan masa kini yang berteraskan konsep hijau.

Maka, tidak hairanlah jika kebanyakan bangunan kediaman mahupun pejabat diserikan dengan tanaman vertikal landskap.

Vertikal landskap atau landskap tanaman hijau yang kebiasaannya ditanam pada luaran sesebuah bangunan, bukan sahaja mampu mencantikkan struktur binaan bahkan memberi nilai tambah kepada alam sekitar.

MOHD ZAMRI

Menurut Pensyarah Jabatan Struktur dan Bahan, Sekolah Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mohd Zamri Ramli, landskap tanaman hijau baik untuk kelestarian namun pemilihan tumbuh-tumbuhan perlu dititikberatkan.

“Amat penting melihat jenis tumbuhan yang ditanam, jika ia menggunakan sistem sokongan yang bersesuaian maka pertumbuhannya tidak akan mengganggu struktur binaan. Sebaliknya jika tumbuhan yang dipilih jenis menjalar maka rayapan akarnya akan memberi kesan terhadap struktur bangunan.

“Selain daripada itu, penjagaan dan penyelenggaraan amatlah penting bagi memastikan tumbuhan yang ditanam kekal terpelihara dan tidak mendatangkan sebarang kesan yang tidak diingini kepada struktur pembinaan,” ujarnya ketika dihubungi Wilayahku.

Tambahnya lagi, buat masa ini, landskap tanaman hijau yang diaplikasikan pada bangunan di Malaysia tidak memberi kesan negatif kepada struktur yang dibina.

“Ia menunjukkan arkitek Malaysia memahami dan jelas dengan pandangan dari sudut pembinaan itu sendiri, apa yang baik dan sebaliknya. Malah mereka juga arif dengan pandangan pihak jurutera kerana itu setiap landskap yang diilhamkan selamat,” ujarnya.

Tambah Mohd Zamri, tanaman yang ditanam di sesebuah bangunan juga tidak mendatangkan kesan yang mudarat kerana ia tidak begitu berat.

“Namun perlu diingatkan pemilihan landskap yang minimum lebih baik berbanding yang sarat kerana ia tidak mengganggu proses pemeriksaan berkala yang akan dilakukan pihak bertanggungjawab,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas