Berita

Aspirasi hijau Wilayah Persekutuan

|ROTINA|
- Diterbit 16 Ogos 2020 2:00 AM MYT

PEMBANGUNAN hutan batu di samping bangunan pencakar langit yang direka dengan kepelbagaian seni bina pastinya menjadikan sesebuah bandaraya kelihatan gah.

Namun hakikatnya persekitaran hijau merupakan elemen penting yang perlu diterapkan bersama kerana manusia dan alam tidak boleh dipisahkan.

Justeru, dalam era pemodenan dan urbanisasi ini, kerajaan telah mewajibkan supaya elemen ‘kehijauan’ disuntik dalam setiap seni bina supaya struktur bangunan kelihatan segar walaupun berhadapan dengan kadar penggunaan tanah yang terhad.

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) turut mewartakan beberapa lokasi baharu antaranya Taman Persekutuan Bukit Kiara dan Taman Tugu, Kuala Lumpur untuk dijadikan kawasan hijau kekal sekali gus menepati aspirasi kerajaan yang mahu menjadikan Malaysia sebagai negara taman.

Di samping itu, beberapa taman rekreasi dan taman awam ditambah baik seperti Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur yang kini berwajah baharu di samping mempunyai tarikan tambahan yang mempersona.

Bagi merancakkan kempen penghijauan di Kuala Lumpur, kementerian mengambil inisiatif menggalakkan penglibatan pihak swasta secara
tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam pembangunan kawasan lapang.

Komited dalam merancakkan kawasan hijau di Wilayah Persekutuan, Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa menyatakan satu projek pembangunan taman rekreasi di Jalan Dutamas 2, Mukim Batu Kuala Lumpur telah diluluskan untuk kerja pembangunan taman komemoratif
dan rekreasi.

Mengulas tentang aspirasi kerajaan itu, tugasan menjadikan Malaysia sebagai negara taman, bukan hanya di tangan kerajaan Persekutuan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) semata-mata, ia sepatutnya melibatkan penyertaan
masyarakat.

Bagi pemaju dan syarikat pembangunan, elemen vertikal landskap boleh dilaksanakan di samping mewujudkan ‘taman rekreasi’ serta gimnasium di atas bumbung seperti yang sudah dibina di beberapa kondominium sekitar ibu negara dan terkini ia diaplikasikan di Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PP1M).

Selain itu, bagi meneruskan kempen tersebut, komuniti setempat digalakkan untuk bercucuk tanam berkonsepkan kebun bandar yang mana
penggunaan ‘pasu PVC berdiri’ diperkenalkan kerana kekangan tanah.

ROTINA

Menyentuh isu penjagaan dan pemuliharaan, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara (JLN), Rotina Mohd Daik berkata, orang awam terutama komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
digalakkan untuk mengurus dan mentadbir kawasan taman serta persekitaran landskap
melalui sumbangan tenaga dan idea seperti mewujudkan Rakan Taman iaitu sukarelawan
penduduk setempat di kawasan kejiranan masing-masing.

“Ini akan mewujudkan perasaan tanggungjawab terhadap aset awam (sense of belonging) supaya pengurusan sesebuah taman tidak bergantung semata-mata kepada pihak kerajaan,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi taman yang dibangunkan oleh JLN pula, ia disertakan dengan
Pelan Pengurusan Taman iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi yang berkaitan perlu memulihara serta menguruskan taman-taman berdasarkan pelan yang ditetapkan.

POTENSI KAWASAN HIJAU WILAYAH PERSEKUTUAN

Mengulas tentang kawasan hijau yang boleh dibangunkan di Wilayah Persekutuan seperti Taman Persekutuan, jelas Rotina, masih ter-
dapat banyak potensi kawasan-kawasan berhutan dan landskap semulajadi yang boleh
dikekalkan atau dibangunkan dengan mengambil kira ‘footprint’ kawasan pembangunan yang perlu sahaja.

Katanya, dengan cara tersebut, kawasan hijau terutama kawasan berhutan di Wilayah Persekutuan dapat dikekalkan dan pembangunan dengan peningkatan densitinya dapat dilaksanakan.

“Pada masa sama, peningkatan densiti ini dapat
mengalakkan pembangunan kawasan Wilayah Persekutuan dan mengekalkan kawasan hijau. Lokasi yang masih belum diterokai dan berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan landskap di Wilayah Persekutuan adalah seperti kawasan bukit atau tanah tinggi atau kawasan hutan simpan,” katanya.

RIZAB JALAN DIJADIKAN KANOPI POKOK

Bagi elemen vertikal landskap pula, kata Rotina,
JLN telah menerbitkan Dasar Landskap Negara yang mana strategi digariskan untuk penghijauan bandar adalah dengan penyediaan Taman Awam, Taman Botani dan Arboretum serta Taman Persekutuan.

Ujarnya, pembangunan taman itu akan disokong oleh pembangunan taman-taman yang lebih kecil seperti Taman Bandaran dan Taman Wilayah.

“Usaha menghijaukan Wilayah Persekutuan boleh ditingkatkan dengan mewujudkan jaringan hijau yang padat dengan tumbuh-tumbuhan terutama di rizab jalan raya, rizab sungai dan jaringan kemudahan yang lain.

“Dalam satu tempoh masa, pokok-pokok teduhan yang ditanam ini akan mewujudkan sambungan kanopi pokok (continuous tree canopy) sekali gus membentuk jaringan hijau di keseluruhan kawasan Wilayah Persekutuan,” jelasnya.

Selain itu, beliau memaklumkan, penambahan kawasan hijau di Wilayah Persekutuan juga boleh dilaksanakan dengan Program Pemuliharaan Landskap iaitu melalui penanaman pokok-pokok hutan di kawasan pelupusan sampah yang telah ditutup.

Tambahnya, Program Pemuliharaan Landskap juga boleh dilaksanakan di kawasan tanah terganggu seperti bekas lombong atau kawasan lombong kuari yang telah ditinggalkan di samping melaksanakan pewartaan terhadap landskap semulajadi bagi memastikan pengekalan dan pemuliharaan seperti di Taman Persekutuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur dan lain-lain kawasan semulajadi yang berpotensi untuk dijadikan kawasan hijau dan rekreasi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas