Fokus

Taman Tasik Titiwangsa berwajah baharu

TAMAN Permainan Air yang dibina di Taman Tasik Titiwangsa.
- Diterbit 29 November 2019 6:10 AM MYT

PESONA ‘Eye on Malaysia’. Pastinya rakyat Malaysia mengingati Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pernah menempatkan Roda Ferris gergasi hingga berjaya menarik ribuan pengunjung.

Malah sejak 2007 iaitu sempena Tahun Melawat Malaysia 2007, ia menjadi salah satu tempat menarik dalam kalangan pelancong asing kerana berlatarbelakangkan mercu tanda Malaysia, Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Istana Budaya.

Taman Tasik Titiwangsa yang terletak di timur laut ibu negara adalah lokasi rekreasi terbuka untuk orang ramai. Mempunyai beberapa tasik yang besar di tengah-tengah, taman itu menjanjikan panorama yang cantik kepada pengunjung tatkala berjoging mahu pun beriadah bersama keluarga.

Ini kerana, terdapat banyak kemudahan disediakan termasuk trek joging, basikal air, kanu dan padang permainan kanak-kanak di samping kemudahan menunggang kuda dan trek litar lumba kereta kawalan jauh.

PENGUNJUNG tidak melepaskan kesempatan merakam pemandangan indah pada waktu senja di taman ini.

Pengunjung juga akan diserikan dengan pancutan air berirama pada hujung minggu. Lebih meriah lagi apabila terdapat juga beberapa gerai yang menjual makanan dan minuman.

Menurut laman web Arkib Negara, Taman Tasik Titiwangsa adalah nama baharu kepada Taman Jalan Kuantan. Nama tersebut telah diisytiharkan Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Hussein Onn pada 1 Februari 1980. Pengisytiharan dibuat sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-6.

Difahamkan, beliau memilih nama itu berikutan Titiwangsa adalah banjaran gunung yang menjadi tulang belakang Semenanjung Malaysia. Malah ia juga sesuai berikutan taman berkenaan mempunyai pemandangan tanah datar di samping landskap kehijauan yang menggambarkan suasana pemandangan dan iklim banjaran gunung.

Meliputi kawasan lebih kurang 110 ekar, kerja-kerja membinanya telah bermula pada 1975. Pada masa itu, rancangan asalnya mahu melengkapkan ta man dengan pelbagai kemudahan sukan seperti kolam renang, gelanggang tenis, rumah kelab, padang permainan dan lain-lain.

Bagaimanapun sejak 14 Mei tahun lalu, warga kota kehilangan Taman Tasik Titiwangsa ekoran ditutup secara berperingkat bagi memberikan laluan kepada proses penambahbaikan dan pengindahan tasik menerusi projek River of Life (RoL) oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Indah

Namun berita gembira buat warga kota apabila baru-baru ini Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengumumkan lokasi riadah terkemuka itu akan mula dibuka semula kepada orang awam pada akhir Januari tahun hadapan sambil mempamerkan gambar-gambar terkini serta kemudahan baharu yang disediakan.

PONDOK yang usang dibina baharu dengan rekabentuk yang lebih moden dan dihiasi cahaya lampu yang berwarna-warni.

Antara kemudahan terkini yang menanti pengunjung adalah Laman Kerawang yang berkonsep ukiran serta ditanam dengan pokok-pokok berbau wangi; pondok usang yang mempunyai reka bentuk lebih moden dan dihiasi lampu berwarna-warni; taman permainan air; gelanggang bola jaring dan bola keranjang di samping jambatan gantung yang dibina dengan elemen pencahayaan menarik khusus untuk pengunjung melaluinya pada waktu malam.

Selain itu, antara kemudahan sedia ada yang ditambah baik bagi menjadikan Taman Tasik Titiwangsa lebih kemas dan selesa adalah kemudahan papan tanda arah dan laluan pejalan kaki, laluan utama dan pokok-pokok dihiasi dengan lampu supaya kelihatan ceria dan lebih selamat kepada pengunjung.

GELANGGANG bola jaring dan bola keranjang turut dibina.

Taman permainan kanak-kanak juga dibina baharu supaya menepati faktor keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Khalid berkata, taman berkenaan akan dibuka selepas kawalan keselamatan ditempatkan di kawasan riadah bagi memastikan semua harta benda dan kemudahan di situ dijaga dengan baik sekali gus mengelakkan kecurian atau vandalisme.

“Kita mahu ia dibuka dalam keadaan sudah siap sedia sepenuhnya termasuk mempunyai operator bot dan restoran,” katanya sambil memaklumkan projek yang menelan belanja RM99.8 juta itu berjaya mengindahkan Taman Tasik Titiwangsa.

Difahamkan, projek pengindahan Taman Tasik Titiwangsa turut melibatkan kawasan kolam mandi kanakkanak, taman kerawang, canopy walk dan laluan pejalan kaki.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas