Selebriti

Dazrin nekad kurus demi dunia lakonan

BAKAL membawawatak sebagai Syed Saddiq dalam filem Mahathir : The Journey.
- Diterbit 22 November 2019 10:03 AM MYT

RATA-RATA peminat tertanya-tanya dengan penampilan susuk tubuh pelakon Dazrin Kamarudin yang kelihatan kurus berbanding sebelum ini. Malah tidak kurang juga yang berpandangan negatif menganggap pelakon ini mengambil bahan terlarang.

Menafikan dakwaan tersebut, Dazrin bagaimanapun menjelaskan penurunan berat badannya tidak lain bukan hanyalah untuk memastikan dirinya masih relevan untuk terus berada dalam bidang seni.

Mengakui kurang mendapat tawaran berlakon pada tahun lalu ekoran daripada penambahan berat badan, hal itu membuatkannya nekad untuk mendapatkan kembali berat idealnya sebelum ini iaitu 70 kilogram.

“Saya pernah mendapat tamparan hebat apabila ditegur oleh penerbit kerana faktor berat yang naik mendadak. Ia menyukarkan saya mendapat watak sebagai hero kerana produksi meletakkan syarat utama iaitu kurus.

“Disebabkan itu juga, saya pernah hilang sekejap dari dunia lakonan kerana kurang tawaran. Jika adapun hanya sebagai watak tambahan atau sekadar kemunculan istimewa sahaja,” ujar Dazrin.

Pun begitu, setelah berjaya menurunkan berat badan, ternyata tawaran lakonan mencurah-curah. Bersyukur dengan rezeki yang diterima, terbaharu dia bakal muncul dalam filem berjudul Mahathir: The Journey.

Mengulas tentang wataknya dalam filem arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan yang akan menjalani penggambaran Disember ini, Dazrin bakal membawa watak sebagai Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Saya sangat gementar apabila ditawarkan berlakon dalam filem ini. Sejujurnya bukan mudah untuk melakonkan watak sebagai seorang pemimpin yang popular dan menjadi idola ramai anak muda,” ujarnya.

Dia kini sedang mengulang kaji serba sedikit watak yang bakal dibawanya dalam filem yang menampilkan kisah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003 dan dilantik semula pada 2018.

“Selain daripada itu, saya juga sibuk dengan penggambaran telefilem Si Gadis Vroom Vroom terbitan Skop Production bersama Elizabeth Tan dan Dirgahayu The Series bersama Josiah Hogan, Chacha Maembong dan ramai lagi,” ujarnya kepada Wilayahku.

Sempat berkongsi rahsia penurunan berat badannya itu, Dazrin berkata dia fokus dalam mengamalkan senaman secara konsisten setiap hari selain diet yang seimbang sejak penghujung tahun 2018 lagi.

“Saya melakukan joging setiap hari. Selain itu, senaman yang tepat juga penting kerana kita perlu tahu bagaimana cara yang pantas untuk membuang lemak di badan,” ujarnya yang tidak mengambil nasi dan gula.

Tukar imej

Jika sebelum ini Dazrin lebih dikenali dengan imej berambut panjang, kini atas nasihat isteri tercinta, Nur Fazulin Razali, pelakon ini lebih selesa memotong rambutnya supaya kelihatan lebih segar dan muda.

“Saya seorang yang susah untuk melakukan perubahan lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan imej. Bukan apa jika berambut pendek, saya risau wajah saya kelihatan lebih muda, sudah tentu sukar mendapatkan watak hero.

“Namun saya ikutkan sahaja kehendak isteri kerana dia lebih tahu apa yang terbaik. Ternyata imej baru ini lebih kemas dan selesa,” ujar Dazrin.

Menyifatkan isterinya seorang yang prihatin dengan penampilannya, Dazrin turut mengakui isterinya itu juga merupakan insan yang tidak putus-putus mendorong dirinya untuk menurunkan berat badannya.

“Sejak berkahwin pada tahun 2017, berat saya meningkat kepada 89 kilogram. Berkat usaha dan dorongan dia kini, saiz baju juga sudah kembali kepada asal iaitu S,” ujar bapa kepada seorang cahaya mata ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas