Berita

Taman Persekutuan Bukit Kiara diwartakan BN pada 2007

|TAMAN Persekutuan Bukit Kiara merupakan lokasi tumpuan warga kota untuk beriadah.
- Diterbit 5 November 2020 6:47 AM MYT

DAKWAAN bahawa sebahagian besar Taman Persekutuan Bukit Kiara, Kuala Lumour telah diwartakan sebagai kawasan hijau oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi memenuhi janji Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) adalah tidak benar.

Ini kerana, usaha untuk mewartakan Taman Persekutuan Berskala Besar itu telah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak 2007.

Menurut Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz, usaha mewartakan lokasi tersebut adalah pada 27 Jun 2007 yang mana Mesyuarat Jemaah Menteri pada masa itu telah bersetuju dengan pembinaan Taman Awam Berskala Besar (TABB) yang keluasan 188.9 hektar (466.86 ekar) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Jelasnya, susulan usaha itu, kira-kira 110.8 hektar (274 ekar) telah digazetkan sebagai TABB yang kini dikenali sebagai Taman Persekutuan Bukit Kiara (TPBK).

“Malah usaha menyelesaikan isu-isu berkaitan tanah di dalam kawasan itu telah dilaksanakan sejak 2009 oleh semua pihak iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

“Turut sama terlibat, Jabatan Landskap Negara (JLN), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG WPKL), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) serta Measat Digicast Sdn. Bhd. (MDSB),” katanya.

TAMAN Persekutuan Bukit Kiara merupakan lokasi tumpuan warga kota untuk beriadah.

Semalam, sebuah portal berita memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mendakwa sebahagian besar TPBK diwartakan sebagai kawasan hijau ‘paru-paru kota’ dalam usaha menjamin kelestarian alam sekitar di ibu negara.

Beliau juga menyatakan kawasan itu tidak boleh dibangunkan dan keputusan menggazetkan tanah seluas 111 hektar itu diluluskan pentadbiran PH bagi memenuhi janji PRU-14 kepada pengundi Segambut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas